Jumaat, 13 Oktober 2017 | 6:38pm

Penyusutan inventori AS dorong kenaikan harga minyak

SINGAPURA: Harga minyak meningkat pada Jumaat apabila pengeluaran dan inventori minyak mentah Amerika Syarikat (AS) merosot, memberi isyarat mengenai pasaran yang semakin mengecil.

Data import minyak China yang kukuh turut menyokong harga minyak mentah, kata peniaga.

Dengan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) menerajui gerak kerja pengurangan keluaran, penganalisis berkata pasaran minyak global kini secara umum seimbang selepas penawaran berlebihan pada tahun sebelumnya.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS diniagakan pada AS$51.01 setong pada 0647 GMT, naik 41 cent, atau 0.8 peratus, daripada penutup terakhirnya. Brent berada pada AS$56.58, naik 33 cent, atau 0.6 peratus.

Inventori minyak mentah AS jatuh 2,7 juta tong pada 6 Oktober kepada 462.22 juta tong, kata Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) pada lewat Khamis.

Pengeluaran merosot 81,000 tong sehari (bpd) kepada 9.48 juta bpd.

Import minyak China yang kukuh, dengan purata 8.5 juta bpd antara Januari dan September dan mencecah 9.0 juta bpd pada September, turut menyokong harga.

Import besar China dipacu oleh pembelian untuk simpanan petroleum strategiknya (SPR). - Reuters

Berita Harian X