Selasa, 3 Oktober 2017 | 4:55pm
Abdul Rasheed Ghaffour. - Foto BERNAMA
Abdul Rasheed Ghaffour. - Foto BERNAMA

Generasi Y gemar berbelanja lebih daripada kemampuan

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia mudah terpengaruh kepada penipuan dan salah laku kewangan dengan jumlah kerugian RM379 juta dilaporkan dari 2015 hingga suku pertama 2017.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Abdul Rasheed Ghaffour, berkata data polis mencadangkan tamak dan kejahilan antara sebab utama yang mempengaruhi keputusan kewangan kebanyakan mangsa.

Beliau berkata, sebahagian besar rakyat negara ini didapati gemar berbelanja lebih daripada kemampuan sebenar, dan ini khususnya berleluasa dalam kalangan generasi 'millennial' (Gen Y).

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Persidangan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) 2017 di Lanai Kijang di sini, hari ini.

Abdul Rasheed berkata, dari Januari hingga Ogos tahun ini, data Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menunjukkan lebih 3,400 peminjam berumur antara 20 hingga 30 tahun mendapatkan bantuan AKPK, berbanding 3,450 peminjam bagi keseluruhan 2016.

Beliau turut berkongsi beberapa pemerhatian berhubung kecelikan kewangan di negara ini.

Antaranya, rakyat negara ini memiliki daya tahan kewangan rendah dan terdedah kepada kejutan kewangan.

Selain itu, katanya berdasarkan kaji selidik 'Financial Capability and Inclusion' (FCI) yang dijalankan BNM pada 2015, lebih 75 peratus rakyat negara ini mendapati sukar menyediakan tunai segera sebanyak RM1,000 sewaktu kecemasan.

"Situasi terbaik ialah mempunyai penampan kewangan yang mencukupi meliputi perbelanjaan kehidupan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan sekiranya berlaku kehilangan pendapatan," katanya.

Kaji selidik itu juga menunjukkan sebahagian besar rakyat negara ini gemar 'live for the moment' atau hidup mewah buat seketika tanpa mempunyai perancangan kewangan jangka panjang.

Menyebut kajian dijalankan Asian Institute of Finance pada 2015, beliau berkata ia mendapati majoriti golongan muda hidup mewah dengan meminjam wang.

Lebih satu pertiga atau 38 peratus daripada mereka bergantung kepada pinjaman peribadi, manakala 47 peratus lagi terbabit dalam pinjaman kad kredit.

"Selalunya, mereka akan mendapati hutang ini membebankan dan akhirnya terjerumus dalam masalah kewangan," katanya.

Beliau berkata, faktor lain ialah rakyat negara ini tidak mengamalkan perancangan kewangan jangka panjang.

Tahap kemiskinan di Malaysia ketika ini ialah RM950 sebulan, dan mengikut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), seorang pesara memerlukan anggaran RM228,000 selepas persaraan untuk menjana pelaburan pendapatan mencukupi untuk hidup di atas paras kemiskinan itu untuk tempoh 20 tahun selepas persaraan.

Menurut Khazanah Research Institute, purata simpanan KWSP bagi mereka dalam kumpulan umur 51 hingga 55 tahun hanya sekitar RM160,000.

Berita Harian X