Jumaat, 15 September 2017 | 1:02pm

Khazanah: Pelaburan di AS selari dengan mandat

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd mengamalkan proses penilaian dan pengesanan yang ketat terhadap semua cadangan pelaburan, termasuk membabitkan penelitian terperinci dan pelbagai laluan masuk pelaburan sebelum dihantar kepada Lembaga Pengarah untuk dipertimbang serta diluluskan.

Secara keseluruhan, penjanaan nilai jangka panjang daripada portfolio pelaburannya kekal stabil, dengan portfolio Nilai Bersih Dilaraskan (NWA) Khazanah meningkat 3.1 kali ganda, atau berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 9.3 peratus setahun, dalam tempoh Mei 2004 hingga 31 Disember 2016.

"Sejajar dengan mandat kami sebagai sebagai dana pelaburan strategik yang menjana nilai jangka panjang untuk Malaysia melangkaui pelbagai sektor dan geografi, Khazanah akan terus meneroka peluang pelaburan di Amerika Syarikat (AS), dengan tumpuan terutama kepada sektor inovasi serta teknologi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sayap pelaburan kerajaan itu merujuk kepada beberapa laporan berita dan kenyataan berhubung pelaburannya di AS, susulan lawatan rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke negara berkenaan.

Kenyataan itu berkata, sejajar dengan dasarnya untuk mempelbagaikan secara progresif portfolio pelaburan di luar negara, Khazanah membuka Khazanah Americas Incorporated di San Francisco pada September 2013, dengan tumpuan terhadap sektor inovasi dan teknologi.

Katanya, pejabat San Francisco adalah pejabat luar negara Khazanah kelima di luar negara selain Beijing, Mumbai, Istanbul dan London.

"Sehingga kini, Khazanah membuat 15 pelaburan bernilai kira-kira AS$410 juta (RM1.71 bilion) di AS, terutama di dalam sektor teknologi.

"Pelaburan kami di AS merangkumi 1.3 peratus portfolio Nilai Aset Boleh Direalisasi (RAV) bernilai RM145.3 bilion setakat 31 Disember 2016," katanya.

Semasa kunjungannya ke AS minggu ini, Perdana Menteri mengumumkan Khazanah merancang untuk menambah pelaburan sedia adanya di negara itu daripada AS$450 juta sekarang.

Berita Harian X