Jumaat, 8 September 2017 | 7:45pm

Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini sejajar dengan prestasi bercampur-campur di bursa serantau, dengan belian saat-saat akhir menolak pasaran ke segmen positif, kata peniaga.

Pada sesi penutup, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.08 mata kepada 1,779.90 selepas bergerak antara paras 1,775.06 dan 1,782.81 sepanjang hari dagangan.

Ia dibuka 1.91 mata lebih rendah kepada 1,781.07 daripada 1,782.98 pada Khamis.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 473 berbanding 384 dengan 404 kaunter tidak berubah, 573 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.97 bilion unit bernilai RM2.27 bilion daripada 2.63 bilion unit bernilai RM2.41 bilion pada Khamis.

Seorang peniaga berkata saham Asia ditutup bercampur-campur susulan petunjuk bercampur-campur daripada peristiwa serantau di mana data perdagangan kukuh China memberi sokongan kepada saham Asia manakala ketegangan berterusan berhubung Korea Utara dan pengurangan minat risiko disebabkan Taufan Irma membawakan sentimen negatif .

China mencatatkan lebihan imbangan perdagangan pada US$41.99 bilion, walaupun lebih kecil berbanding US$48.6 bilion yang dijangkakan pada Ogos, manakala di Korea Utara, terdapat spekulasi yang Pyongyang mungkin akan mencuba satu lagi pelancaran peluru berpandu pada hari kebangsaannya Sabtu ini.

Di pasaran tempatan, Bursa Malaysia diniagakan kebanyakannya rendah hari ini dipengaruhi oleh jualan dalam saham wajaran tinggi terpilih, selepas dua sesi kenaikan, dengan saham kewangan dan pengguna menyeret turun indeks.

Ia ditutup bercampur-campur berikutan belian saat-saat akhir dalam pasaran, kata peniaga itu.

Di pasaran serantau, Nikkei 225 Jepun turun 0.63 peratus kepada 19,274.82, Hang Seng Hong Kong naik 0.53 peratus kepada 27,668.47, Kospi Korea Selatan susut 0.10 peratus kepada 2,343.75, dan indeks Straits Times Singapura berkurangan 0.04 peratus kepada 3,225.92.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank naik 11 sen kepada RM9.60, Tenaga dan Public Bank menokok dua sen setiap satu masing-masing kepada RM14.58 dan RM20.60, Sime Darby meningkat empat sen kepada RM9.07 dan CIMB Group turun 15 sen kepada RM6.76.

Dalam kalangan kaunter cergas, Sino Hua-An naik 5.5 sen kepada 23.5 sen, Palette Multimedia meningkat 1.5 sen kepada 23.5 sen, manakala PUC dan JAG tidak berubah pada 14 sen.

Indeks FBM Emas turun 11.37 mata kepada 12,689.28, Indeks FBMT 100 susut 14.13 mata kepada 12,357.52 dan FBM Ace jatuh 38.58 mata kepada 6,649.58.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 1.79 mata kepada 12,886.14 manakala FBM 70 menokok 9.89 mata kepada 15,262.92.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 9.01 mata kepada 7,890.21, Indeks Perusahaan naik 3.58 mata kepada 3,208.72 tetapi Indeks Kewangan berkurangan 14.99 mata kepada 16,726.53.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.76 bilion saham bernilai RM2.06 bilion, daripada 1.70 bilion saham bernilai RM2.23 bilion yang dicatatkan pada Khamis.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE melonjak kepada 1.01 bilion unit bernilai RM184.6 juta, berbanding 769.19 juta unit bernilai RM167.57 juta sebelumnya.

Waran meningkat kepada 187.15 juta saham bernilai RM22.16 juta daripada 154.80 juta saham bernilai RM17.14 juta pada Khamis.

Barangan pengguna menyumbang 124.37 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (749.61 juta), pembinaan (71.82 juta), perdagangan dan perkhidmatan (424.55 juta), teknologi (49.43 juta), prasarana (6.35 juta), SPAC (3.58 juta), kewangan (57.06 juta), hotel (1.24 juta), hartanah (233.12 juta), perladangan (32.97 juta), perlombongan (401,400), REITs (6.28 juta), dan dana tertutup (30,800). - BERNAMA

Berita Harian X