X
Khamis, 7 September 2017 | 2:57pm
DATUK Seri Ong Ka Chuan (tengah) mengadakan lawatan ke tapak projek pusat membeli belah I-City hari ini. Turut hadir Pengerusi Eksekutif l-Berhad Tan Sri Lim Kim Hong (kiri) dan Naib Presiden Eksekutif, Marketing of Central Pattana Public Company Limited (CPN) Thailand Dr Nattakit Tangpoonsinthana (kanan).- Foto BERNAMA
DATUK Seri Ong Ka Chuan (tengah) mengadakan lawatan ke tapak projek pusat membeli belah I-City hari ini. Turut hadir Pengerusi Eksekutif l-Berhad Tan Sri Lim Kim Hong (kiri) dan Naib Presiden Eksekutif, Marketing of Central Pattana Public Company Limited (CPN) Thailand Dr Nattakit Tangpoonsinthana (kanan).- Foto BERNAMA

Dagangan Malaysia boleh capai RM1.5 trilion tahun ini

SHAH ALAM: Dagangan Malaysia dijangka mampu mencapai jumlah sasaran RM1.5 trilion pada tahun ini dipacu pertumbuhan dua angka dalam kebanyakan sektor terutama produk elektrik dan elektronik (E&E).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, berkata jumlah dagangan Malaysia tahun ini menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan dalam tempoh tujuh bulan ini sudah melepasi RM1 trilion.

"Sektor E&E masih menjadi penyumbang utama dengan 35.8 peratus atau sebanyak RM189.52 bilion daripada jumlah produk eksport utama negara.

"Ia diikuti dengan produk petroleum (RM43.11 bilion); kimia (RM39.15 bilion); minyak kelapa sawit dan produk berasaskan kelapa sawit (RM31.11 bilion) serta mesin/jentera dan bahagian peralatan (RM24.05 bilion)," katanya pada sidang media ketika mengadakan lawatan ke tapak pusat beli-belah Central i-City, di sini, hari ini.

Beliau berkata, menerusi prestasi positif itu, kerajaan yakin pertumbuhan sektor akan terus meningkat terutama permintaan bagi produk E&E untuk terus melepasi sasaran dagangan negara RM1.5 trilion.

Jumlah dagangan Malaysia antara Januari hingga Julai tahun ini adalah sebanyak RM1.008 trilion, meningkat 22.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Eksport negara bagi tempoh sama mencatatkan pertumbuhan 22.3 peratus atau sebanyak RM529.68 bilion, manakala import meningkat 23 peratus kepada RM478.71 bilion.

Berita Harian X