Selasa, 15 Ogos 2017 | 8:24pm

Ringgit ditutup lebih rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini seiring dengan penyusutan harga minyak mentah, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, ringgit disebut harga pada 4.2940/2980 berbanding dolar AS daripada 4.2920/2950 pada Isnin.

Harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, susut 0.37 peratus kepada US$50.54 setong manakala West Texas Intermediate merosot 0.38 peratus kepada AS$47.41 setong.

Penyusutan harga itu berlaku selepas dolar AS meningkat berikutan kebimbangan mengenai permintaan lebih rendah di China yang juga pengguna minyak kedua terbesar dunia.

Ia juga berkait rapat dengan kebimbangan mengenai lebihan bekalan minyak yang ketara.

Menurut peniaga itu, kilang penapis minyak China beroperasi di paras harian terendah dalam tempoh hampir setahun pada Julai.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1435/1476 daripada 3.1517/1551 pada Isnin dan naik berbanding yen kepada 3.8898/8938 daripada 3.9121/9152.

Unit tempatan itu juga meningkat berbanding euro kepada 5.0450/0506 daripada 5.0633/0681 dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.5388/5444 daripada 5.5689/5745, sebelum ini. - BERNAMA

Berita Harian X