Jumaat, 4 Ogos 2017 | 6:24pm
TIMBALAN Pengarah Jabatan Promosi dan Perdagangan Antarabangsa Thailand, Vannaporn Ketudat.

Thailand mahu perluas kerjasama 4 bidang dengan Malaysia

BANGKOK, Thailand: Thailand mahu mengukuhkan kerjasama ekonomi dengan Malaysia menerusi empat bidang yang dilihat paling berpotensi iaitu digital, inovasi, sains dan teknologi serta industri getah.

Timbalan Pengarah Jabatan Promosi dan Perdagangan Antarabangsa Thailand, Vannaporn Ketudat, yang turut menyatakan kekaguman terhadap potensi Malaysia dalam bidang berkenaan, berkata kedua-dua negara patut menjalin kerjasama lebih erat dalam sektor itu.

"Malaysia sangat cekap dalam bidang inovasi, digital, perniagaan kreatif dan industri getah, begitu juga Thailand.

"Jadi kami melihat peluang untuk mengembang dan mengukuhkan lagi jaringan ekonomi kedua-dua negara dalam sektor berkenaan sangat besar," katanya ditemui pada sidang media di ASEAN - India Expo and Forum 2017 di Queen Sirkit National Convention Centre di sini, hari ini.

Ekspo dan forum dua hari bermula semalam yang disertai lebih 500 delegasi dari 11 negara ASEAN iaitu Malaysia, Thailand, India, Brunei, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Kemboja dan Vietnam itu dirasmikan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha.

Ia diadakan sempena ulang tahun ke-25 hubungan ASEAN-India, bertujuan memperkukuh kerjasama strategik di kalangan 10 negara rantau ini dengan India, mempelbagai hubungan perdagangan dan pelaburan serta memperkukuh sektor pelancongan serta perniagaan negara terbabit.

Sebanyak 10 syarikat Malaysia menyertai ekspo berkenaan iaitu Buminiche Sdn Bhd; Craft Internationals Group Sdn Bhd; Datmel Technology Sdn Bhd; Dswiss Sdn Bhd; Infinite Power Sdn Bhd; Kejuruteraan Elektrik Suria (M) Sdn Bhd; LKS (M) Sdn Bhd; New Wave Asia Co Ltd; Prairie Marketing Ltd dan Sal Corporation Co Ltd.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed turut dijemput sebagai panel rundingan dalam forum berkenaan dengan tajuk 'Next Chapter of Trade and Investment Relations Under ASEAN - India FTA', semalam.

Dalam pada itu, Vannaporn berkata, kelembapan ekonomi dunia tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi ASEAN dan Malaysia serta Thailand dilihat antara rantau yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi mapan.

"Peluang ekonomi tetap ada dan kita hanya perlu mencarinya. Forum dan ekspo ini adalah antara platform terbaik untuk negara ASEAN merebut peluang dagangan dan ekonomi," katanya.

Vannaporn berkata, Thailand juga mengagumi kelebihan Malaysia dalam melahirkan generasi berkemahiran tinggi dan negara itu juga menumpukan usaha sama menerusi Thailand 4.0, bagi melahirkan lebih ramai tenaga berkemahiran tinggi.

Berita Harian X