Rabu, 2 Ogos 2017 | 5:56pm
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada program "Latin American Business Day" di Menara MITI. - Foto Aswadi Alias.
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada program "Latin American Business Day" di Menara MITI. - Foto Aswadi Alias.

Sasar 2 vendor bertaraf antarabangsa setiap tahun

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berhasrat melahirkan sekurang-kurangnya dua vendor bertaraf jaguh nasional, serantau dan antarabangsa pada setiap tahun.

Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata MITI turut menyasarkan 40 syarikat baharu untuk menyertai Program Pembangunan Vendor (PPV) Bumiputera bagi memastikan negara mempunyai vendor berkualiti bertaraf antarabangsa dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-11.

"Kita letakkan satu sasaran kualitatif dan satu kuantitatif. Kualitatif bermakna sasaran kita untuk memastikan kualiti produk dihasilkan oleh syarikat teraju ini adalah setara dengan kualiti syarikat ternama luar negara.

"Kita juga ingin melihat lebih banyak lagi vendor iaitu dengan pertambahan sebanyak 40 vendor bagi setiap tahun," katanya dalam temubual eksklusif bersama Bernama News Channel, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata hingga Julai 2017, seramai 1,440 vendor menyertai PPV menerusi 21 syarikat teraju.

Katanya, bagi memperkasakan program berkenaan, MITI melaksanakan beberapa aktiviti sokongan seperti sesi padanan perniagaan menerusi program GLC ExplorAce.

"Ia satu program untuk kita mengetengahkan dan mempamerkan produk keluaran vendor bagi memberi semangat dan dorongan kepada pihak-pihak lain," katanya.

Mustapa berkata, program ExplorAce yang dianjurkan bersama UEM dan Sime Darby itu juga sudah memasuki tahun kelima penganjurannya. - BERNAMA

Berita Harian X