Jumaat, 28 Julai 2017 | 10:25pm

Prestasi buruk Amazon jejas pasaran saham AS

BENGALURU: Indeks saham Amerika Syarikat (AS) dibuka lebih rendah selepas Amazon melaporkan keuntungannya merosot sehingga menjejaskan saham teknologi.

Saham Amazon susut 3.15 peratus dalam dagangan pra-pasaran selepas ia melaporkan penurunan 77 peratus keuntungan ketika usaha pengembangan pantas dan berkos tingginya dalam kategori perbelanjaan baharu tidak menunjukkan sebarang isyarat untuk perlahan.

Penurunan itu mempengaruhi indeks teknologi, yang menjadi sektor mencatatkan prestasi terbaik tahun ini, sehingga membolehkan indeks S&P 500 meningkat 10.6 peratus tahun ini.

Saham Facebook, Alphabet dan Netflix, yang juga sebahagian daripada saham cemerlang "FANG" juga berada lebih rendah.

Purata Perindustrian Dow Jones susut 9.29 mata, atau 0.04 peratus, kepada 21,787.26.

Indeks S&P 500 kehilangan 5.78 mata, atau 0.23 peratus, kepada 2,469.64.

Indeks Komposit Nasdaq jatuh 40.28 mata, atau 0.63 peratus, kepada 6,341.90. - Reuters

Berita Harian X