Isnin, 24 Julai 2017 | 10:39pm

Jualan kenderaan Jun susut kepada 50,275 unit

KUALA LUMPUR: Jumlah jualan kenderaan pada Jun 2017 turun kepada 50,275 unit daripada 57,362 unit yang dijual dalam bulan yang sama tahun lalu, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Kuantiti jualan pada Jun 2017 susut sebanyak 12 peratus, atau 7,087 unit, berbanding bulan yang sama tahun lalu disebabkan oleh bulan bekerja pendek ekoran cuti Hari Raya, kata persatuan itu dalam satu kenyataan hari ini.

"Bagi kenderaan penumpang, jualan pada Jun susut kepada 45,339 unit berbanding 50,978 unit.

"Jualan kenderaan perdagangan turun kepada 4,936 unit daripada 6,384," kata MAA.

Bagaimanapun, keseluruhan jumlah jualan kenderaan setakat ini bagi tahun ini tiga peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu, kata persatuan itu.

Mengenai prospek masa depan, MAA berkata kuantiti jualan bagi Julai 2017 dijangka kekal pada paras yang sama seperti Jun disebabkan kelewatan yang dijangkakan dalam proses pendaftaran kenderaan berikutan ketidakpastian mengenai liberalisasi insurans motor dari Julai 2017. - BERNAMA

Berita Harian X