Jumlah pengendalian kargo di Labuan terjejas akibat pelaksaan dasar sifar COVID-10 ketika pandemik, kata Presiden Persatuan Penghantar Kargo Labuan (LFFA), Prunella Phoong.
Beliau berkata, jumlah trafik di pelabuhan Labuan berkurangan dengan ketara berikutan pelaksanaan dasar itu.
"Dasar sifar COVID-19 telah menyebabkan aktiviti import dan eksport Labuan beralih ke Pelabuhan di Sabah dan ia turut mengalihkan pergerakan trafik udara dari Lapangan Terbang Labuan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu," katanya.
Disebabkan kelembapan global, caj pengangkutan yang meningkat sebanyak antara tiga hingga empat kali ganda dalam tempoh enam bulan lalu, ia turut memberi kesan kepada pergerakan import dan eksport, kata Phoong.
Beliau berkata, 60 hingga 70 peratus daripada import dan eksport barangan Labuan adalah berkaitan dengan industri perkhidmatan minyak dan gas (O&G) yang berpangkalan di Labuan manakala baki import adalah untuk kegunaan tempatan.
"Disebabkan kenaikan caj pengangkutan untuk import antara Pelabuhan Klang dan Labuan di mana kadarnya mungkin mencecah antara RM8,000 dan RM10,000 setiap unit bersamaan dua puluh kaki (TEU), banyak pengimport untuk kegunaan tempatan telah memindahkan aktiviti import mereka ke Pelabuhan Kota Kinabalu, Sabah kerana ia lebih murah walaupun masa transit telah meningkat sebanyak lima hingga tujuh hari," katanya.
Beliau berkata, sejak November 2022, susulan pembukaan semula aktiviti perdagangan ke Labuan dan peningkatan besar dalam perkhidmatan oleh pengendali pelabuhan Labuan, Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) daripada segi masa persinggahan kapal di Pelabuhan Labuan, pengendali kapal telah menjadi lebih yakin untuk menggunakan pelabuhan berkenaan.
Beliau berkata, industri perkhidmatan berkaitan O&G menyumbang 60 hingga 70 peratus daripada semua import Labuan dan 80 peratus daripada eksport Labuan melalui udara dan laut dengan sambungan laluan darat ke Brunei dan Sarawak.
Sementara itu, Phoong berkata pelabuhan seperti Pelabuhan Klang, Selangor dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor juga menyaksikan penurunan jumlah pemindahan kapal pada 2022 berbanding 2021, kebanyakannya disebabkan oleh kelembapan ekonomi di peringkat global, kenaikan inflasi dan kos sara hidup.
"Dasar sifar COVID-19 untuk membendung wabak di Shanghai dan Ningbo, China turut menjejaskan volum di Asia.
"Walaupun terdapat beberapa pembatalan untuk berlabuh di pelabuhan-pelabuhan ini, ia tidak banyak seperti apa yang berlaku di pelabuhan-pelabuhan di China. Bilangan perkhidmatan perkapalan tidak banyak berubah. Jumlah aktiviti pemindahan kargo di Pulau Pulau Pinang adalah menggalakkan," katanya.
-BERNAMA