Jumaat, 27 Januari 2023 | 4:08pm
Bangunan KWSP di Persiaran Kwasa Utama, Shah Alam yang bakal menjadi ibu pejabatnya yang baharu. - NSTP/GENES GULITAH
Bangunan KWSP di Persiaran Kwasa Utama, Shah Alam yang bakal menjadi ibu pejabatnya yang baharu. - NSTP/GENES GULITAH

KWSP fokus bina semula tabungan persaraan ahli

SHAH ALAM: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memberi tumpuan 2023 untuk membina simpanan persaraan rakyat Malaysia dengan memperluaskan liputan dan menggalakkan lebih ramai mencarum secara sukarela.

Fokus itu sejajar dengan perkembangan ekonomi negara, yang mana berdasarkan perangkaan dalaman pengurus dana persaraan itu mendapati ekonomi Malaysia kini bukan lagi berada dalam fasa pemulihan, sebaliknya dalam aliran pertumbuhan.

Ketua Pegawai Strategik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nurhisham Hussein, berkata berkata ketika ini jumlah ahli KWSP ialah 15.7 juta.

Beliau berkata, pada tahun lalu, pengurus dana persaraan itu telah melaksanakan hampir 3,000 program 'outreach' untuk mendekatkan lagi dengan pencarum dan orang ramai.

Katanya, bagi membina simpanan persaraan bagi semua rakyat Malaysia adalah memperluaskan liputan dan menggalakkan orang ramai mencarum secara sukarela supaya dapat membina semula simpanan yang telah berkurang bagi menjamin masa depan yang lebih baik.

"Justeru, bahagian operasi kami giat keluar buat 'outreach', berjumpa dengan orang dan memberi pendidikan simpanan kewangan.

"Ini penting untuk membina simpanan persaraan memandangkan pengeluaran simpanan telah dilaksanakan ketika pandemik, yang mana masih ramai pencarum mempunyai jumlah simpanan yang masih rendah," katanya kepada BH dalam satu temubual baru-baru ini.

Empat pengeluaran telah dibenarkan ketika pandemik iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas membabitkan jumlah pengeluaran keseluruhan RM145 bilion.

Kemudahan pengeluaran itu disediakan KWSP khusus untuk menampung kehidupan ahli ketika penutupan ekonomi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Dengan pembukaan semula ekonomi pada tahun lalu, kadar penyertaan buruh telah meningkat kepada 69.8 peratus iaitu kadar tertinggi sejak 2010, dan kadar pengangguran pula telah merosot kepada 3.6 peratus, menunjukkan pasaran pekerjaan berada di landasan yang telah melepasi aras pemulihan.

Ahli KWSP yang mempunyai simpanan kurang dari RM10,000 adalah 6.7 juta ahli yang berumur di bawah 55 tahun, dengan 5.1 juta atau 76 peratus adalah Bumiputera.

Dalam usaha untuk menangani krisis simpanan, KWSP giat menyokong dasar perlindungan sosial untuk kesejahteraan rakyat Malaysia melalui pembabitan aktif dalam jawatankuasa peringkat kebangsaan yang memberi tumpuan kepada peningkatan landskap perlindungan sosial negara, seperti Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) dan Majlis Warga Emas Negara dan lain-lain.

KWSP berharap usaha reformasi itu boleh menghasilkan sistem perlindungan sosial yang lebih menyeluruh dan berkesan.

Berita Harian X