Rabu, 28 September 2022 | 11:20am
Terdapat kemungkinan GST akan dikembalikan semula selepas PRU-15 - NSTP/Aizuddin Saad
Terdapat kemungkinan GST akan dikembalikan semula selepas PRU-15 - NSTP/Aizuddin Saad

GST dijangka kembali 2024

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2024 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan mungkin mengekalkan Cukai Makmur tahun depan.

Maybank Investment Bank (Maybank IB), berkata GST dijangka tidak akan diperkenalkan tahun depan memandangkan keperluan kerajaan adalah menguruskan inflasi berdasarkan jangkaan peralihan subsidi bahan api kepada pendekatan bersasar, dengan beberapa pelarasan dalam harga bahan api tahun depan.

"Kami tidak menolak beberapa 'mesej' dalam Bajet 2023 untuk menyediakan pengguna dan perniagaan berkaitan kemungkinan pelaksanaan semula GST pada 2024 selepas PRU-15," kata Maybank IB dalam satu nota penyelidikan yang ditulis bersama oleh penganalisisnya iaitu Suhaimi Ilias, Dr Zamros Dzulkafli dan Fatin Nabila Mohd Zaini.

Maybank IB bagaimanapun berkata, seandainya 'kos politik' GST terlalu besar untuk ditanggung oleh mana-mana kerajaan sedia ada atau jika PRU akan datang dimenangi Pakatan Harapan (PH) yang menyatakan tentangan kepada pelaksanaan semula GST, maka alternatifnya adalah meneruskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada, selain memperluaskan pangkalan data serta liputan.

"Jika GST tidak dilaksanakan semula, SST sedia ada diteruskan tetapi dengan lebih luas berdasarkan Cukai Perkhidmatan ke atas perkhidmatan penghantaran barangan termasuk platform e-dagang (kecuali penghantaran makanan dan minuman serta perkhidmatan logistik) yang diumumkan pada 1 Julai lalu.

"Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2022 yang mengemas kini Akta Cukai Jualan 2018 akan mengenakan 10 peratus Cukai Jualan ke atas barangan bernilai rendah (iaitu bernilai RM500 dan ke bawah) yang dijual oleh penjual berdaftar melalui platform dalam talian dan dihantar ke Malaysia mulai 1 Januari 2023.

"Situasi sebegitu juga akan meningkatkan prospek pencukaian ke atas kekayaan dan keuntungan modal pada masa akan datang, menambah kepada cadangan pengembalian semula cukai ke atas pendapatan sumber asing dalam Bajet 2022 yang kini ditangguhkan sehingga 31 Disember 2026," katanya.

Sementara itu, Maybank IB berkata, pihaknya menjangka kemungkinan wujud pelaksanaan Cukai Makmur 2.0, meskipun statusnya masih menjadi persoalan selepas Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan ia adalah langkah cukai sekali saja dalam Bajet 2022.

Pada Jun lalu, penganalisis menganggarkan, kerajaan dijangka menjana pendapatan tambahan sehingga RM10 bilion tahun ini menerusi pelaksanaan Cukai Makmur yang dikenakan ke atas tidak lebih 250 syarikat di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group, Dr Anthony Dass, berkata pendapatan cukai tambahan itu lima hingga 15 peratus lebih tinggi berbanding RM63.75 bilion cukai korporat yang dikutip pada 2019, enam hingga 20 peratus berbanding RM50 bilion yang dikutip ketika pandemik melanda negara pada 2020 dan tambahan daripada kutipan RM65.5 bilion tahun ini.

Dass berkata, Cukai Makmur dijangka membabitkan tidak lebih daripada 250 syarikat dengan anggaran cukai yang memberikan tambahan kepada pendapatan kerajaan adalah sekitar RM3 bilion hingga RM10 bilion tahun ini.

Berita Harian X