Selasa, 20 September 2022 | 2:52pm
Zuraida berucap merasmikan Hari Buluh Sedunia Peringkat Malaysia
Zuraida berucap merasmikan Hari Buluh Sedunia Peringkat Malaysia

Industri buluh bakal diperkasa penuhi permintaan global

SELAYANG: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan memperkasakan pembangunan industri buluh dengan pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif seiring dengan permintaan global terhadap produk buluh.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata buluh semakin mendapat permintaan yang menggalakkan di peringkat global bukan hanya bagi pembuatan perabot, malah merangkumi pelbagai aktiviti hiliran lain seperti pembuatan tekstil.

Justeru, beliau berkata sebagai antara negara yang mempunyai ekosistem komprehensif dari segi penanaman, penyelidikan dan teknologi berkaitan buluh, Malaysia perlu pantas bergerak ke hadapan dalam industri itu.

"Kementerian melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) akan terus memperkasa industri buluh kerana ia adalah salah satu industri yang sedang membangun dan mendapat banyak permintaan dari luar negara.

"Kita ada teknologi dan kepakaran yang terbaik. Perlu ambil peluang ini dan terus mengukuhkan lagi industri buluh. Kita mahu industri ini menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negara di masa depan," katanya selepas merasmikan Hari Buluh Sedunia Peringkat Malaysia di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), hari ini.

Zuraida berkata, industri buluh tempatan ketika ini sangat kecil dan hanya mempunyai 567 penanam buluh tempatan yang terbabit secara langsung dalam industri berasaskan buluh di Malaysia merangkumi industri papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan, arang buluh dan kraftangan.

Beliau berkata, pengurusan industri buluh perlu diselaraskan demi mempromosi dan memajukan industri itu dengan pelaksanaan inisiatif seperti program penyelidikan, pembangunan dan galakan yang berterusan, industri buluh berupaya mengoptimakan penggunaan sumber bahan mentah ini sebagai sumber alternatif yang bernilai tambah dalam industri perkayuan.

Industri perkayuan. katanya juga perlu mengikut Indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) agar dapat memastikan kelestariannya.

"Ini kerana, kita ingin mengelak menjadi mangsa kepada negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dengan tuduhan palsu mereka terhadap industri perkayuan negara.

"Malah, kepakaran kita seperti yang dilaksanakan oleh FRIM juga perlu dikembangkan. FRIM perlu menyasarkan negara dunia ketiga untuk memindahkan kepakaran teknologi mereka, sekali gus menjadi sumber pendapatan negara kerana banyak negara dunia ketiga antaranya Bangladesh, India, Pakisan dan Kemboja yang sedang membangunkan industri ini," katanya.

Zuraida menanam pokok buluh sempena Hari Buluh Sedunia Peringkat Malaysia
Zuraida menanam pokok buluh sempena Hari Buluh Sedunia Peringkat Malaysia

Mengulas lanjut, Zuraida berkata industri perkayuan di Malaysia tahun lalu menyumbang sebanyak RM22.7 bilion kepada pendapatan eksport negara, meningkat sebanyak tiga peratus berbanding nilai eksport yang dicatat pada 2020.

Beliau berkata, peningkatan itu membuktikan permintaan dunia terhadap industri perkayuan negara terus meningkat walaupun sewaktu negara terpaksa berdepan dengan pandemik COVID-19.

Katanya, nilai eksport produk buluh tahun lalu pula merekodkan sebanyak RM8.41 juta, naik sebanyak 1.6 peratus berbanding RM8.28 juta pada 2020.

"Nilai eksport ini dilihat masih lagi rendah berbanding dengan negara lain dan Malaysia masih lagi bergantung kepada import produk buluh dari negara lain seperti China, Indonesia dan Vietnam.

"Nilai import produk buluh bagi 2021 adalah berjumlah RM89.23 juta. Lantaran itu, kita perlu mengecilkan jumlah import dan menggandakan nilai eksport melalui pelbagai langkah dengan segera," katanya.

Berita Harian X