Jumaat, 16 September 2022 | 2:52pm
Kadar penggunaan industri sarung tangan getah berada pada paras 50 hingga 60 peratus berbanding kadar optimum 80 hingga 85 peratus -NSTP/Danial Saad
Kadar penggunaan industri sarung tangan getah berada pada paras 50 hingga 60 peratus berbanding kadar optimum 80 hingga 85 peratus -NSTP/Danial Saad

Pengeluar sarung tangan tangguh rancangan tambah kapasiti

KUALA LUMPUR: Pengeluar sarung tangan getah menangguhkan rancangan pengembangan skala kapasiti pengeluaran dalam beberapa bulan akan datang.

AmInvestment Bank Bhd berkata, Hartalega Holdings Bhd memberi petunjuk bahawa barisan pertama Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Selanjutnya (NCG) 1.5, dengan jumlah kapasiti tahunan sebanyak 19 bilion keping sarung tangan akan ditangguhkan daripada tarikh operasinya pada Oktober tahun ini.

Selain itu, ia berkata, Hartalega sedang berusaha untuk menghentikan operasi beberapa barisan pengeluaran yang tidak cekap untuk mengurangkan kos.

Top Glove Corporation Bhd pula, katanya membuat semakan semula pelan pengembangan asalnya yang pada awalnyamahu mencapai jumlah kapasiti tahunan 204 bilion keping kepada hanya 156 bilion keping pada Disember 2025.

"Kossan memberi petunjuk bahawa ia telah menangguhkan rancangan pengembangan kapasiti jangka pendek dalam menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran dan mengurangkan lebihan bekalan.

"Kami percaya gabungan penangguhan skala kapasiti ini boleh melegakan sebahagian tekanan bekalan dalam industri sarung tangan," katanya dalam satu nota penyelidikan.

AmInvestment Bank menjangkakan permintaan sarung tangan merosot antara 16 hingga 18 peratus pada 2022.

Ia berkata, akibat permintaan yang lemah, kadar penggunaan industri berada pada paras 50 hingga 60 peratus berbanding kadar optimum 80 hingga 85 peratus.

"Ini boleh menyebabkan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi disebabkan oleh skala ekonomi yang lebih rendah.

"Dari sudut positif, Hartalega memberi petunjuk bahawa pelanggan mungkin mula meningkatkan semula stok pada akhir tahun ini," katanya.

Mengenai purata harga jualan (ASP) sarung tangan, AmInvestment Bank berkata, persaingan sengit berterusan antara pembuat sarung tangan serantau yang berpunca daripada lebihan kapasiti telah membawa kepada lingkaran menurun ASP daripada paras kemuncaknya pada suku kedua 2021.

Berita Harian X