Selasa, 2 Ogos 2022 | 12:38pm
Pengguna sebelum ini tidak dikenakan cukai jika membeli barangan import berharga RM500 ke bawah secara dalam talian - Foto hiasan
Pengguna sebelum ini tidak dikenakan cukai jika membeli barangan import berharga RM500 ke bawah secara dalam talian - Foto hiasan

Barang import bernilai rendah kena cukai mulai 2023

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan cukai jualan ke atas barangan import bernilai rendah (LVG) yang dibeli menerusi dalam talian akan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2023.

Presiden Institut Percukaian Malaysia (CTIM), Chow Chee Yen, berkata sebelum ini jika pengguna membeli barangan berharga RM500 ke bawah secara dalam talian dengan peniaga luar negara menerusi platform e-dagang, tiada cukai dikenakan.

Namun, katanya, bermula awal tahun depan, pengguna akan dikenakan cukai jualan dianggarkan sebanyak 10 peratus.

"Tujuan pelaksanaan cukai ini adalah untuk mewujudkan 'padang yang sama rata' untuk peniaga tempatan.

"Ini kerana jika anda membeli sama ada dari dalam atau luar negara selepas ini, kedua-duanya akan dikenakan cukai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Persidangan Cukai Kebangsaan 2022 di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Mohd Nizom Sairi.

Kementerian Kewangan sebelum ini membentangkan dua rang undang-undang (RUU) untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Dua RUU berkenaan ialah RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2022 dan RUU Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2022.

Bacaan kali pertama RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2022 itu bertujuan meminda Akta Cukai Jualan 2018 bagi mengenakan cukai jualan ke atas LVG dijual secara dalam talian.

Di bawah RUU itu, Seksyen 11A baharu akan diwujudkan yang akan mentakrifkan LVG sebagai 'sebarang barangan atau kelas barangan yang ditetapkan di luar Malaysia yang dijual dan dibawa masuk ke Malaysia'.

Sementara itu Mohd Nizom berkata, kerajaan perlu memikirkan kaedah baharu untuk menarik pelabur asing ke dalam negara selain memberi keistimewaan pengecualian cukai.

Ini kerana, katanya, sebanyak 136 negara termasuk Malaysia telah bersetuju untuk melaksanakan kadar cukai minimum 15 peratus ke atas syarikat multinasional (MNC) di negara mereka beroperasi bermula tahun depan.

"Maksudnya, jika Malaysia masih memberi insentif pengecualian cukai kepada MNC ini, negara asal syarikat ini boleh mengenakan cukai 15 peratus kepada mereka yang mana sudah tentu merugikan kita.

"Maka, kita perlu fikirkan insentif dan cara lebih baik untuk menarik masuk pelabur asing selain hanya bergantung kepada pengecualian cukai," katanya.

Berita Harian X