Khamis, 28 Julai 2022 | 2:07pm
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, (tengah) dan CEO Fusionex Group, Datuk Seri Ivan Teh (dua dari kanan) pada majlis pelancaran MATRADE Digital Trade Platform (MDTP) hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, (tengah) dan CEO Fusionex Group, Datuk Seri Ivan Teh (dua dari kanan) pada majlis pelancaran MATRADE Digital Trade Platform (MDTP) hari ini.

35,000 syarikat dijangka sertai platform dagang digital MATRADE

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan sebanyak 35,000 syarikat akan menyertai MATRADE Digital Trade Platform (MDTP) dalam tempoh lima tahun ini dengan nilai eksport di antara RM60 juta hingga RM70 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, berkata bagi tahun pertama pengenalan MDTP, pihaknya menyasarkan untuk mendaftarkan 3,500 syarikat yang akan menjana nilai eksport di antara RM6 juta hingga RM7 juta.

Sehubungan itu beliau menggesa syarikat Malaysia untuk mendaftar dengan MTDP yang baru dilancarkan itu dan memanfaatkan sepenuhnya ciri-ciri yang ada di dalam platform berkenaan.

"Saya gembira dapat menyaksikan kemajuan positif projek ini yang menandakan pencapaian MATRADE dalam inisiatif pendigitalan dalam promosi eksport.

"Saya percaya MDTP akan bertindak sebagai pemangkin kepada aktiviti pembangunan dan promosi pengeksport termasuk e-Dagang rentas sempadan yang akan memberi manfaat kepada komuniti perniagaan Malaysia, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS)," katanya pada majlis pelancaran platform itu di sini, hari ini.

Yang turut hadir CEO Fusionex Group, Datuk Seri Ivan Teh.

MDTP ialah platform perdagangan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan perniagaan-ke-pelanggan (B2C) yang dibangunkan oleh Fusionex. MDTP yang mula beroperasi hari ini, akan dilaksanakan dalam empat fasa dan fasa pelaksanaan dijangka siap menjelang suku kedua 2023.

Mengulas lanjut Mohd Mustafa berkata, data yang dikumpul daripada MDTP akan membantu MATRADE dalam merangka strategi yang lebih baik sejajar dengan aspirasi agensi itu untuk menjadi organisasi yang dipacu data.

"Selain itu, komuniti perniagaan Malaysia, terutamanya PMKS juga akan mendapat manfaat daripada platform ini yang akan memudahkan mereka dalam mengenal pasti permintaan dan memulakan tindakan yang memberi kesan dalam amalan perniagaan mereka.

"Perkongsian dengan Fusionex ini akan meningkatkan lagi penyampaian MATRADE kepada pihak berkepentingan dan mengukuhkan kapasiti kami dengan memanfaatkan pendigitalan dalam memudahkan proses kerja untuk pembangunan dan promosi eksport.

"Platform ini (MDTP) adalah untuk melengkapkan dan bekerjasama dengan pemain pasaran dengan menyediakan penyelesaian digital kepada komuniti perniagaan. Oleh itu, saya menjemput syarikat Malaysia untuk menyertai dan mendaftar dengan MTDP dan menggunakan sepenuhnya ciri yang ada," katanya.

Tambahnya, inisiatif itu adalah sejajar dengan misi MATRADE untuk memperkasakan syarikat tempatan untuk meneroka pasaran global, di mana platform itu bertindak sebagai ruang maya interaktif berpusat untuk perdagangan yang menghubungkan komuniti perniagaan Malaysia dengan pembeli antarabangsa.

"Ketika Malaysia meletakkan sasarannya untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju, MATRADE telah memberikan penekanan yang lebih besar kepada pendigitalan dalam Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp), yang dirangka untuk meningkatkan daya saing perdagangan negara dan mengatasi cabaran eksport.

"Pengenalan MDTP mengukuhkan komitmen MATRADE untuk memacu aktiviti eksport negara dengan menggunakan teknologi terkini," katanya.

Sementara itu Ivan berkata, perusahaan tempatan boleh berkembang maju dengan meraih faedah yang dapat berkembang dan berkembang dalam bidang perdagangan antarabangsa, melalui penggunaan teknologi digital yang berkesan.

"Saya percaya platform ini akan menjadi pemangkin yang hebat untuk perubahan yang membantu mengubah Malaysia menjadi sebuah negara yang dipacu digital, berpendapatan tinggi dan mendorong negara mencapai matlamat utamanya untuk menjadi kuasa ekonomi.

"Kami berharap untuk melihat lebih banyak kemunculan pengeluar dan pengeksport yang berjaya hasil daripada MDTP," katanya.

Berita Harian X