Rabu, 27 Julai 2022 | 1:12pm
Terdapat syarikat perladangan sawit terbabit dengan jualan hadapan dengan harga telah dikunci - Foto AFP
Terdapat syarikat perladangan sawit terbabit dengan jualan hadapan dengan harga telah dikunci - Foto AFP

Penurunan harga sawit jejas hasil syarikat perladangan

KUALA LUMPUR: Pendapatan syarikat perladangan sawit dijangka terjejas pada separuh kedua 2022 berikutan penurunan harga minyak sawit mentah (MSM), kenaikan kos baja dan pelaksanaan gaji minimum.

Penganalisis Maybank IBG Research, Ong Chee Ting, berkata beberapa syarikat perladangan sawit yang berada di dalam pemantauannya terbabit dengan jualan hadapan dengan harga yang telah dikunci.

"Sime Darby Plantation memberi panduan bahawa ia telah menjual ke hadapan 50 peratus output di Semenanjung Malaysia (dengan harga purata jualan RM4,700 satu tan) dan 40 peratus output di Papua New Guinea (harga purata jualan RM6,300 satu tan) bagi Mei hingga Disember 2022.

"Berdasarkan anggaran kami, ia mewakili kira-kira 30 peratus daripada output Sime Darby Plantation pada harga purata jualan RM5,460 satu tan.

"Bagi TH Plantations pula, ia telah menetapkan jualan hadapan bagi 30 peratus output suku kedua pada harga purata jualan RM4,800 satu tan," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Beliau menambah, Genting Plantation dan TSH Resource turut mempunyai jualan ke hadapan, menyebabkan harga purata jualan MSM kedua-dua syarikat akan terus terkesan oleh struktur cukai eksport Indonesia yang progresif disebabkan oleh kehadiran syarikat terbabit yang besar di negara itu.

"Bagi peserta bersepadu seperti IOI dan KLK, mereka mengekalkan stategi jualan hadapan dua hingga tiga bulan berikutan operasi hiliran, sekali gus menghalang kedua-duanya daripada meraih manfaat daripada harga spot yang tinggi pada suku kedua 2022," katanya.

Chee Ting bagaimanapun berkata, pihaknya menjangkakan industri sawit mencatatkan pertumbuhan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti bagi 10 suku tahunan berturut-turut pada suku kedua 2022.

Beliau berkata, ia berikutan harga MSM tertinggi dalam sejarah, dengan purata sekitar RM6,552 satu tan, meningkat 56 peratus dari tahun ke tahun dan meningkat lapan peratus dari suku ke suku tahun pada suku berkenaan.

Katanya, produk berkaitan isirung sawit (PK) juga mencatatkan purata lebih tinggi pada RM3,525 satu tan, meningkat 34 peratus dari tahun ke tahun, namun ia telah susut berbanding paras tinggi yang dicatatkan pada suku pertama 2022.

"Harga MSM dan PK yang lebih tinggi dijangka mengatasi output yang lebih lemah pada suku kedua, dengan perangkaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mendedahkan penurunan keluaran sebanyak lima peratus di peringkat kebangsaan," katanya.

Beliau berkata, syarikat perladangan sawit huluan dengan pendedahan yang lebih tinggi di Malaysia secara umumnya akan mencacatkan prestasi lebih baik berbanding mereka yang mempunyai pendedahan yang lebih tinggi di Indonesia.

Katanya, ia berikutan struktur cukai eksport progresif, sekatan eksport dan obligasi pasaran domestik (DMO) yang dikenakan sejak akhir Januari 2022.

"Berdasarkan anggaran kami, purata harga tempatan Indonesia hanya 13,503 rupiah sekilogram pada suku kedua 2022.

"Ini membawa kepada jurang harga penghantaran tempatan yang melebar antara Malaysia dan Indonesia sebanyak RM2,525 satu tan pada suku kedua 2022," katanya.

Chee Ting berkata, larangan eksport minyak sawit selama tiga minggu dan sekatan eksport Indonesia sepanjang suku kedua mungkin akan memberi manfaat kepada syarikat perladangan sawit hiliran di Malaysia berdasarkan analisis perangkaan perdagangan.

Justeru, beliau berkata, pihaknya menjangkakan margin penapisan dan oleokimia sekurang-kurangnya kekal pada suku kedua 2022.

Berita Harian X