Isnin, 25 Julai 2022 | 2:40pm
Pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia merancakkan industri penerbangan domestik - Foto fail NSTP
Pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia merancakkan industri penerbangan domestik - Foto fail NSTP

Permohonan hak trafik udara naik mendadak

KUALA LUMPUR: Permohonan bagi Hak Trafik Udara (ATR) pada suku kedua tahun ini meningkat 210 peratus berbanding suku sama tahun lalu.

Menurut Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), ia menerima 32 permohonan pada suku kedua yang merangkumi 28 laluan udara antarabangsa dan empat laluan udara domestik.

"Ini menunjukkan peningkatan permohonan ATR sebanyak 47.6 peratus berbanding suku pertama tahun 2022 dan peningkatan ATR sebanyak 210 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

"Peningkatan ketara ini didorong oleh pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia pada bulan April 2022 serta inisiatif syarikat penerbangan untuk mengembangkan rangkaian antarabangsa mereka sejajar dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa oleh negara lain," katanya.

MAVCOM hari ini menerbitkan laporan ATR suku tahunan, yang memperincikan peruntukan ATR Suruhanjaya untuk sektor penerbangan awam Malaysia bagi tempoh 1 April hingga 30 Jun 2022.

Mengulas lanjut, suruhanjaya itu melaporkan bahawa peningkatan permohonan ATR pada suku kedua 2022 disokong lagi oleh keputusan syarikat-syarikat penerbangan untuk meneroka sektor baharu dalam usaha untuk mengukuhkan rangkaian penerbangan.

"Ini dilihat dengan permohonan ATR untuk beberapa laluan udara baharu dari lapangan terbang sekunder di Malaysia, iaitu dari Johor Bahru dan Pulau Pinang, ke beberapa destinasi di ASEAN.

"Suruhanjaya juga membuat penekanan bahawa terdapat peningkatan dalam kekerapan kapasiti penerbangan ke Australia dan New Zealand oleh syarikat penerbangan Malaysia, melalui kebebasan udara kelima dari Indonesia ke Australia, serta Australia ke New Zealand," katanya.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, dalam tempoh pasca pandemik, suruhanjaya itu terus komited dalam peranannya sebagai pengawal selia komersial dan ekonomi industri penerbangan awam di Malaysia.

"Landskap sektor penerbangan kekal mencabar, tetapi suruhanjaya amat gembira untuk melaporkan bahawa terdapat peningkatan permohonan ATR yang sihat dan ini menandakan pemulihan yang stabil bagi syarikat-syarikat penerbangan.

"Tambahan pula, MAVCOM amat berbesar hati dan menyokong keputusan syarikat penerbangan untuk meneroka sektor baharu sebagai sebahagian daripada strategi pemulihan mereka dengan pemberian kelulusan ATR bagi laluan baharu seperti Pulau Pinang ke Denpasar, Phnom Penh dan Pekanbaru selain Johor Bahru ke Phnom Penh, Pekanbaru dan Kualanamu," katanya.

Beliau menambah, bagi suku dalam tinjauan, MAVCOM telah meluluskan 31 daripada 32 permohonan ATR yang diterima daripada syarikat penerbangan, yang menunjukkan kadar kelulusan sebanyak 96.8 peratus.

"Kadar kelulusan ini adalah lebih tinggi berbanding yang dilaporkan bagi suku pertama 2022, iaitu sebanyak 95.4 peratus.

"Daripada 31 kelulusan ATR ini, AirAsia telah menerima jumlah kelulusan ATR tertinggi dengan 11 ATR, diikuti oleh Batik Air Malaysia dan AirAsia X, yang masing-masing menerima tujuh dan enam kelulusan ATR.

"MY Jet Xpress Airlines dan Raya Airways masing-masing telah diberikan tiga ATR setiap satu, manakala MABKargo telah diberikan satu kelulusan ATR," katanya.

Berita Harian X