Isnin, 25 Julai 2022 | 2:23pm
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin -NSTP/Aizuddin Saad
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin -NSTP/Aizuddin Saad

Kerajaan pantau harga sawit bagi lindungi pekebun, industri

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan memantau perkembangan industri sawit dan memastikan minyak sawit kekal menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi untuk manfaat semua, terutama pekebun kecil dan peserta industri utama.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata langkah terbaharu Jakarta membatalkan levi eksport untuk semua produk minyak sawit sehingga 31 Ogos depan dalam usaha Indonesia meningkatkan eksport komoditi dan mengurangkan inventori yang tinggi, secara tidak langsung akan terus menekan harga minyak sawit mentah (MSM).

"Harga dijangka kekal lemah untuk sebahagian besar suku ketiga 2022," katanya dalam satu kenyataan.

Zuraida berkata, Malaysia tidak dapat mengelak tekanan ke atas harga MSM kerana sedang berhadapan dengan saingan yang kuat daripada Indonesia, iaitu negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia yang sedang giat berusaha 'membersihkan' sebanyak mungkin tangki simpanan bekalan minyak sawit republik itu.

"Harga purata MSM bagi suku ketiga 2022 diunjurkan antara RM4,800 hingga

RM5,200 dan untuk rekod, harga harian MSM menyusut kepada RM3,631.50 setiap tan atau 24.9 peratus pada 15 Julai 2022 daripada RM4,838.50 setiap tan pada 1 Julai 2022," katanya.

Beliau menjelaskan, harga MSM yang rendah dipengaruhi pelbagai faktor, antaranya harga minyak kacang soya (SBO) yang lebih lemah disebabkan kurangnya pengeluaran oleh negara pengeluar utama berikutan faktor cuaca.

Selain itu, katanya eksport minyak sawit yang lebih rendah pada Jun 2022 berikutan saingan Indonesia yang melonggarkan larangan eksport untuk menggalakkan penghantaran keluar komoditi berkenaan dalam usahanya mengurangkan inventori yang tinggi di negara itu.

Katanya, ia turut didorong peningkatan bekalan minyak sayuran dunia susulan keputusan Indonesia melonggarkan larangan eksport minyak sawitnya dan pengeluaran MSM yang lebih tinggi pada Jun 2022 selaras dengan pusingan bermusim.

"Melihat sudut positif, sebaik berakhir Ogos 2022, Indonesia akan melaksanakan semula larangan eksport minyak sawitnya bermula 1 September 2022.

"Bersama jangkaan pengeluaran minyak sawit menyusut pada suku keempat 2022, harga MSM bagi suku terakhir tahun ini diunjur kuat boleh menokok kepada antara RM5,000 hingga RM5,500 setiap tan," katanya.

Harga MSM sebelum ini meningkat sebanyak 55.9 peratus kepada RM6,330 satu tan bagi tempoh Januari hingga Jun 2022 daripada RM4,061.50 satu tan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Dari Jun 2020, harga MSM menunjukkan trend peningkatan, malah

antara Januari 2021 hingga Jun 2022, harga komoditi itu telah beberapa kali

melonjak melampaui rekod harga tertinggi pernah dicatatkan sebelum ini.

Berita Harian X