Jumaat, 22 Julai 2022 | 10:38am
BNM mengikut mandat untuk mengekalkan pertumbuhan dan kestabilan harga - Foto hiasan
BNM mengikut mandat untuk mengekalkan pertumbuhan dan kestabilan harga - Foto hiasan

Kenaikan OPR langkah tepat kawal inflasi

KUALA LUMPUR: Pelarasan menaik Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang menjadi penanda aras bagi kadar faedah pinjaman di Malaysia menunjukkan Bank Negara Malaysia (BNM) menjalankan mandat bagi memastikan inflasi terkawal tanpa menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi negara.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Global, Shan Saeed, berkata tindakan BNM meningkatkan kadar OPR pada masa ini adalah penting untuk membendung inflasi supaya kenaikan harga tidak menjejaskan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan dan bank pusat menyedari hakikat bahawa rakyat bimbang mengenai inflasi yang berlaku di seluruh dunia dan semua negara terjejas.

"BNM mengikut mandatnya untuk mengekalkan pertumbuhan dan kestabilan harga. BNM menaikkan kadar sebanyak 25 mata asas tanpa menjejaskan prospek pertumbuhan.

"Tambahan pula, kerajaan berusaha menyokong usahawan tempatan bagi memberikan keyakinan kepada mereka," katanya kepada BH.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM menaikkan OPR pada mesyuarat 11 Mei dan 6 Julai lalu masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelum ini.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Global, Shan Saeed
Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Global, Shan Saeed

Mengulas lanjut, Shan berkata, perkembangan yang berlaku di peringkat global menyukarkan ekonomi dunia sehingga menyebabkan kira-kira kira-kira 40 peratus atau 78 negara berada dalam stagflasi atau situasi inflasi tinggi yang diiringi prestasi ekonomi lemah, manakala 41 bank pusat telah menaikkan kadar faedah tahun ini.

"Malaysia boleh menangani 'ribut' global ketika ini memandangkan ia telah mengharungi masa sukar dalam pasaran kewangan global," katanya.

Pengarah/Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof, pula berkata kenaikan OPR adalah kerana ekonomi negara ini semakin pulih dan kukuh.

Beliau menjelaskan, jika OPR tidak dinaikkan di tengah-tengah keadaan ekonomi yang semakin mengukuh, kemungkinan inflasi menjadi lebih tinggi akan berlaku.

"Di sini, kita perlu ingat bahawa kadar OPR sebelum pandemik adalah pada kadar lebih tinggi (3.0 peratus) daripada sekarang. Jadi, dengan keadaan ekonomi semakin pulih, sokongan yang diberikan semasa krisis pandemik mungkin boleh dinormalisasikan secara berperingkat.

"Jika OPR tidak dinaikkan dan dengan keadaan ekonomi yang semakin kukuh, kemungkinan akan berlaku inflasi yang lebih tinggi. Kami menjangkakan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas lagi untuk tahun ini," katanya.

Mengenai kesan kenaikan OPR kepada peminjam berpendapatan rendah, Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata peminjam yang mempunyai jumlah pinjaman kecil mungkin kurang terkesan.

Dalam masa sama, katanya OPR pada kadar 2.25 peratus masih rendah berbanding 3.25 peratus sebelum pandemik.

"Namun, yang menjadi kebimbangan ialah peminjam mempunyai pelbagai pinjaman seperti perumahan, peribadi, kereta dan kredit kad, ditambah dengan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) dan kemudiannya lebihan pendapatan menjadi lebih kurang kerana gaji turun.

"Selain itu, OPR dijangka naik lagi 25 mata asas pada September ini menyebabkan peminjam dengan pinjaman RM500,000 akan menyaksikan peningkatan komitmen bulanan melebihi RM200 akibat peningkatan OPR tiga kali sejak Mei," katanya.

Ketua Ahli Ekonomi/Ketua Penyelidik AmBank Research, Dr Anthony Dass dalam nota penyelidikannya pula berpandangan, walaupun terdapat kebimbangan kadar faedah akan meningkatkan kos pinjaman untuk perniagaan dan isi rumah, adalah penting untuk menilai kesan kenaikan OPR terhadap ringgit.

Beliau menjelaskan, dalam keadaan semasa, ringgit yang semakin lemah adalah disebabkan oleh dolar AS yang lebih kukuh berikutan kenaikan kadar faedah agresif oleh bank pusat AS.

Katanya, memandangkan BNM menaikkan OPR hanya sebanyak 25 mata asas, ringgit melemah kepada RM4.42 berbanding satu dolar AS dan dengan perbezaan kadar faedah yang melebar berikutan kenaikan kadar faedah yang pasif, trend kelemahan ringgit akan meningkat.

"Trend kelemahan ringgit akan memberi kesan yang kuat kepada inflasi yang diimport. Ini akan menyebabkan harga dipindah kepada pengguna kerana kos sara hidup akan meningkat," katanya.

Dass berkata, tanpa subsidi, inflasi akan berada sekitar 11 peratus berbanding 2.8 peratus ketika ini dan tanggungan subsidi kerajaan melebihi RM71 bilion dengan kelemahan ringgit akan meningkatkan lagi bil import.

"Kami percaya bahawa BNM akan menormalisasi lagi kadar dasarnya pada masa depan. Kenaikan 50 mata asas sekali saja nampaknya sangat tidak mungkin.

"Kami berpandangan OPR pada paras 2.50 peratus hingga 2.75 peratus pada 2022, iaitu satu atau dua lagi kenaikan dengan dua lagi kenaikan pada 2023 kepada 3.00 peratus hingga 3.25 peratus," katanya.

Berita Harian X