Jumaat, 8 Julai 2022 | 10:43am
Ibu pejabat Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur. - EPA-EFE
Ibu pejabat Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur. - EPA-EFE

Kenaikan OPR pertahan ringgit, bendung inflasi

KUALA LUMPUR: Langkah BNM menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) yang menjadi penanda aras penetapan kadar faedah pinjaman adalah antara lain untuk menstabilkan dan mengukuhkan nilai ringgit, kata penganalisis.

Ia susulan trend penurunan mata wang tempatan akan memberikan impak besar kepada peningkatan kadar inflasi kerana negara banyak bergantung kepada barangan dan bahan yang diimport.

Ketua Ahli Ekonomi AmBank Research, Dr Anthony Dass, berkata pendekatan BNM itu juga adalah untuk membantu menyokong ringgit yang semakin lemah berbanding bukan sahaja dolar Amerika Syarikat (AS) tetapi kadar mata wang lain.

"Walaupun terdapat kebimbangan mengenai kenaikan kadar faedah yang akan meningkatkan kos pinjaman untuk perniagaan dan isi rumah, adalah penting untuk mengimbangi kos dan faedah antara kenaikan kadar faedah dan ringgit yang semakin lemah.

"Dalam keadaan semasa, kelemahan ringgit adalah disebabkan oleh faktor dolar yang lebih kukuh susulan kenaikan kadar agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed)," katanya dalam nota penyelidikan.

Dass yang juga Ketua Penyelidik AmBank Research berkata, arah aliran ringgit yang semakin lemah memberi kesan yang kuat terhadap inflasi import yang mana akan menyebabkan ia dipindahkan kepada pengguna memandangkan kos sara hidup akan meningkat.

Katanya, dengan perbezaan kadar faedah yang semakin meningkat berikutan kenaikan kadar yang lebih pasif, trend ringgit yang lemah dijangka terus berkembang.

"Rizab dalam BNM berjumlah AS$112.8 bilion atau 4.6 bulan import tertangguh daripada AS$116.2 bilion atau 5.3 bulan import tertangguh pada Januari 2022. Dan persoalannya ialah berapa banyak rizab yang boleh kita gunakan untuk menyokong ringgit dengan lebih banyak kenaikan kadar pasif," katanya.

Selain itu, Dass berkata, terdapat ketidakpadanan yang tinggi antara penawaran dan permintaan.

Beliau berkata, selain kesan gangguan bekalan, perbelanjaan isi rumah mendapat momentum, terutamanya dengan pembukaan sempadan, meningkatkan pasaran pekerjaan dan gaji.

Katanya, ketidakpadanan itu adalah fenomena global dan bukan hanya Malaysia di mana bank pusat lain telah memulakan kenaikan kadar faedah yang lebih agresif, namun Malaysia telah memutuskan untuk menjadi kurang agresif dengan mengambil pandangan yang lebih berhati-hati.

"Dan ini boleh menambah tekanan kepada ketidakpadanan. Tanpa subsidi, inflasi sepatutnya sekitar 11 peratus berbanding 2.8 peratus. Dan subsidi itu membebankan kerajaan lebih RM71 bilion.

"Ringgit yang semakin lemah akan menambah lagi bil import. Berikutan keputusan terkini, kami terus percaya bahawa BNM akan terus menormalkan kadar dasarnya pada masa hadapan.

"Kami mendapati bahawa kenaikan 50 mata asas sekali sahaja nampaknya sangat tidak mungkin. Kami berpendapat bahawa OPR akan berakhir pada 2.50 hingga 2.75 peratus pada 2022 berdasarkan menjangkakan satu atau dua lagi kenaikan kadar lagi, manakala dengan dua kenaikan pada 2023 kepada 3.00–3.25 peratus," katanya.

Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengambil pendirian lebih agresif seperti mana bank pusat lain untuk menaikkan sebanyak 50 mata asas lagi bagi mengurangkan kadar inflasi.

Kelmarin, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM memutuskan untuk menaikkan OPR yang menjadi penanda aras pinjaman dan tabungan iaitu sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus kepada 2.25 peratus.

Susulan peningkatan itu, kadar siling dan lantai koridor OPR juga meningkat masing-masing kepada 2.50 peratus dan 2.00 peratus.

Ia kenaikan kedua berturut-turut tahun ini selepas BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus semasa mesyuarat terakhirnya Mei lalu.

Sementara itu, Ahli Ekonomi OCBC Bank, Wellian Wiranto berkata, memandangkan latar belakang landskap monetari global yang lebih ketat, kenaikan 25 mata asas yang diumumkan BNM sepatutnya tidak mengejutkan.

"Kami melihat sekurang-kurangnya satu lagi kenaikan 25 mata asas tahun ini, yang akan dilihat untuk menormalkan lagi kadar dasar dan bukannya mengetatkan secara terang-terangan.

"Ternyata, BNM telah memutuskan bahawa pendekatan yang berhati-hati kekal yang terbaik, memilih untuk menaikkan kadar dengan kenaikan 25 mata asas yang bersifat lebih tradisional," katanya dalam nota penyelidikan.

Berita Harian X