Isnin, 4 Julai 2022 | 11:17am
Subsidi meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) diunjur mencecah RM37.3 bilion - Foto fail NSTP
Subsidi meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) diunjur mencecah RM37.3 bilion - Foto fail NSTP

Subsidi minyak kawal tekanan inflasi Malaysia

KUALA LUMPUR: Tekanan inflasi keseluruhan di Malaysia dijangka kekal stabil khususnya dengan pengekalan harga bahan api bersubsidi pada tahun ini, demikian menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research).

Firma penyelidikan itu bagaimanapun berkata, inflasi makanan dijangka meningkat ketara di tengah-tengah kenaikan harga komoditi global, pemotongan subsidi ke atas sebahagian barangan dan penurunan nilai ringgit memandangkan Malaysia adalah negara pengimport bersih makanan.

"Kami menjangkakan inflasi makanan akan meningkat 4.5 peratus pada 2022 berbanding 1.6 peratus pada 2021, manakala inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) bukan makanan meningkat lebih perlahan sebanyak 1.9 peratus berbanding 2.8 peratus dicatatkan tahun sebelumnya.

"Inflasi bahan api yang terkawal akan mengatasi kenaikan inflasi makanan, justeru mengehadkan tekanan inflasi keseluruhan di Malaysia," katanya dalam satu nota

Unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan yang berjumlah RM77.3 bilion setakat ini bagi 2022 adalah jumlah subsidi tertinggi di dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.

Unjuran subsidi kepenggunaan itu meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) sebanyak RM37.3 bilion; minyak masak (RM4 bilion); tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, serta bil subsidi (RM9.7 bilion), tidak termasuk bantuan kebajikan lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam menegaskan bahawa kerajaan tidak akan membiarkan rakyat 'ikat perut' dalam isu kenaikan harga barang, sebaliknya akan mencari jalan bagi menyelesaikannya.

"Kita subsidikan harga sebanyak RM77.7 bilion iaitu ayam, bahan api, elektrik, telur, minyak masak dan air. Kita ambil tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan," katanya dalam ucapan penutupan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Perak 2022.

Sementara itu, MIDF Research berkata, ia menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mempertimbangkan satu lagi kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas (bps) pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) minggu ini berikutan kenaikan berterusan inflasi teras, yang mencerminkan permintaan domestik yang kukuh.

"Selain itu, momentum memberangsangkan dari segi jualan perdagangan, penurunan kadar pengangguran ke paras terendah baharu pandemik 3.9 peratus pada April dan kadar pengembangan dua angka perdagangan luar memberikan isyarat postif pemulihan mantap dalam ekonomi," katanya.

Berita Harian X