Ahad, 3 Julai 2022 | 11:08am
Ibu pejabat Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur - Reuters
Ibu pejabat Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur - Reuters

Kenaikan kadar faedah pinjaman tidak dapat dielakkan - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Peminjam dijangka terus berdepan kenaikan kadar faedah yang selanjutnya selepas dua tahun menikmati kadar faedah rendah dalam sejarah berikutan Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan besar menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas lagi separuh kedua tahun ini.

Penganalisis umumnya menjangkakan, kenaikan OPR yang menjadi kadar penanda aras bagi pinjaman tidak dapat dielakkan lagi bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mapan dalam persekitaran harga yang stabil.

Penganalisis menjangkakan BNM akan menaikkan OPR sekurang-kurangnya 25 mata asas pada 6 Julai ini bagi mengekang tekanan meningkat inflasi, membendung pengaliran keluar dana, menyokong ringgit serta memastikan pemulihan ekonomi berterusan.

Pada Mei lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada mesyuaratnya memutuskan untuk menaikkan OPR 25 mata asas kepada 2 peratus berbanding 1.75 peratus sejak Julai 2020.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) banyak memberi kesan kepada sentimen pasaran kewangan global, terutama pasaran bon dan ekuiti memandangkan kenaikan kadar faedah di ekonomi terbesar dunia itu dikaitkan impak kepada momentum pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan.

Justeru, beliau berkata, kenaikan kadar faedah AS yang sering dilihat sebagai 'trend setter' global itu akan memberi gambaran kepada bank pusat lain untuk turut mengamalkan dasar monetari yang sama.

Namun bagi Malaysia, katanya, BNM melaksanakan dasar monetari mengikut kesesuaian ekonomi negara dengan kenaikan OPR pada Mei lalu banyak dikaitkan momentum pertumbuhan ekonomi negara yang lebih baik dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang pada kadar 5 peratus.

Jelasnya, kadar OPR 1.75 peratus, kadar terendah dalam sejarah itu sudah lagi tidak sesuai memandangkan kadar faedah yang terlalu rendah bagi tempoh lama sedangkan ekonomi mula pulih boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi negara.

"Kadar faedah rendah tidak menggalakkan tabungan dan ia boleh memberi insentif bagi peniaga untuk mengambil risiko lebih tinggi demi mencari pulangan yang lebih tinggi.

"Umumnya, pihak BNM mentadbir dasar monetari mengikut acuan negara kita sendiri," katanya kepada BH bagi mengulas kenaikan kadar faedah selanjutnya di negara ini.

Sementara itu, Pengurus Penyelidik FSMOne Malaysia, Jason Wong, berkata langkah BNM menaikkan OPR pada Mei 2022 sebanyak 25 mata asas kepada 2.0 peratus memang dipuji memandangkan bank pusat sedang proaktif untuk mengekang kenaikan inflasi di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya langkah menaikkan kadar penanda aras kadar pinjaman di negara ini itu akan mengurangkan kelemahan dan menstabilkan ringgit yang disebabkan kenaikan kadar faedah secara agresif oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) baru-baru ini.

"Pasukan Penyelidik di FSMOne menjangkakan bank pusat akan membuat tiga lagi kenaikan 25 mata asas membabitkan kadar faedah pada baki Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang berlangsung tahun ini.

"Kami percaya bank pusat tidak mahu melakukan kesilapan seperti Fed, dengan menaikkan kadar terlalu perlahan dan membiarkan inflasi meruncing di luar kawalan. Oleh itu, BNM sentiasa mengikuti perkembangan perkara ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai inflasi, Wong berkata, kerajaan telah memulakan penghapusan subsidi secara sederhana memandangkan pandemik yang melanda serta perang Ukraine-Russia menjejaskan rantaian bekalan, sekali gus banyak harga komoditi isi rumah telah melambung tinggi.

Beliau berkata, sekatan dan kawalan pergerakan oleh China di wilayah tertentu juga menjejaskan bahagian pengeluaran industri yang mereka bekalkan ke Malaysia dan negara lain.

Katanya, kesan domino berlaku dan seterusnya, pengeluaran tempatan tertangguh akibat situasi itu dan turut menjejaskan pengguna akhir.

"Semua faktor digabungkan dan meningkat, ia menyumbang kepada peningkatan inflasi dalam negara. Kerajaan Malaysia kini dicabar untuk menghadapi peningkatan kos banyak komoditi," kata Wong.

Kenanga Research pula berpandangan inflasi akan kekal pada peringkat global pada separuh kedua 2022 berikutan gangguan rantaian bekalan global, yang menjadi faktor utama mencetuskan inflasi, masih jauh untuk berakhir di samping bahan api yang terus memberi tekanan kepada inflasi.

"Dengan inflasi yang kelihatan semakin tidak terkawal, penggubal dasar tiada pilihan selain menjadikan pengekangan inflasi sebagai keutamaan mereka dengan menaikkan kadar dan memulakan pengetatan kuantitatif.

"Harga aset (terutamanya bon, ekuiti dan aset alternatif seperti mata wang kripto), yang dirangsang oleh dasar monetari yang sangat longgar dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kini mengalami pengunduran besar. Ini menjadikan persekitaran pelaburan amat mencabar untuk baki 2022 (mungkin sehingga 2023 juga)," katanya.

Sementara itu, MIDF Research dalam nota Tinjauan Separuh Kedua 2022 berkata, kebimbangan kemelesetan yang semakin meningkat di AS telah membawa kepada aliran keluar bersih sebanyak -RM104.8 juta oleh pelabur asing daripada pasaran negara setakat 27 Jun 2022).

Namun, ia berkata, aliran dana kumulatif Malaysia masih kekal positif dan melebihi paras AS$1 bilion (RM6.46 bilion).

Bagi separuh kedua 2022, MIDF Research berpendapat, aktiviti ekonomi domestik akan terus berkembang didorong, terutama oleh perbelanjaan pengguna dan perniagaan yang lebih tinggi sementara sektor perdagangan luar dijangka berkembang pada kadar yang kukuh disokong oleh harga komoditi yang tinggi dan permintaan serantau yang berkembang.

"Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia pada +6.0 peratus bagi 2022. Kami menaikkan purata unjuran Indeks Harga Pengguna (IHP) kepada +2.8 peratus bagi 2022 memandangkan harga komoditi global yang meningkat, dengan tekanan inflasi di Malaysia dipengaruhi oleh inflasi makanan yang lebih tinggi.

"Dengan aliran inflasi teras yang semakin meningkat dan permintaan domestik yang lebih kukuh daripada jangkaan, kami percaya BNM akan menaikkan OPR sebanyak +50 mata asas pada separuh kedua 2022," katanya.

Berita Harian X