Ahad, 26 Jun 2022 | 12:23pm
BNM mempunyai ruang yang mencukupi untuk mengendalikan inflasi harga tanpa menjejaskan prospek ekonomi - Foto hiasan
BNM mempunyai ruang yang mencukupi untuk mengendalikan inflasi harga tanpa menjejaskan prospek ekonomi - Foto hiasan

Kadar faedah pinjaman dijangka naik lagi

KUALA LUMPUR: Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang menjadi penanda aras faedah pinjaman tempatan berpotensi untuk dinaikkan sekurang-kurangnya 25 mata asas lagi kemungkinan bulan depan berikutan peningkatan berterusan kadar inflasi di Malaysia, kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Global, Shan Saeed, berkata kebanyakan bank pusat pasaran baharu muncul berdepan cabaran sukar berikutan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) memberi tekanan penyusutan kepada mata wang mereka, justeru bank pusat akan menggunakan pendekatan pengawalan bagi mengekang tekanan inflasi.

Beliau berpendapat, Bank Negara Malaysia (BNM) akan menggunakan langkah taktikal untuk menaikkan kadar bagi memberi isyarat kukuh kepada pasaran bahawa bank pusat tempatan itu mengawal pasaran kewangan.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan kenaikan kadar kepada antara 2.25 peratus dan 2.50 peratus tahun ini bergantung kepada langkah yang diambil bank pusat ekonomi maju seperti Rizab Persekutuan AS (Fed), Bank Pusat Eropah (ECB), Bank of England (BoE) dan Bank of Japan (BoJ).

"Saya jangka, BNM mempunyai ruang yang mencukupi untuk mengendalikan inflasi harga tanpa menjejaskan prospek ekonomi.

"Kerajaan dan BNM menggabungkan dasar fiskal dan monetari untuk mengekalkan kestabilan ekonomi dalam sistem untuk mencapai kestabilan makroekonomi," katanya kepada BH.

Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi tempatan meningkat kepada 2.8 peratus bulan lalu, dengan inflasi makanan terus melonjak ke paras baharu 5.2 peratus, tertinggi sejak November 2011, dengan 93 peratus item makanan merekodkan kenaikan.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada mesyuaratnya bulan lalu memutuskan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus.

OPR sebelum itu berada pada paras 1.75 peratus sejak 7 Julai 2020.

MPC akan mengadakan mesyuarat pertama bagi separuh kedua 2022 untuk memutuskan kadar OPR dijadualkan pada awal bulan depan.

Baru-baru ini, Fed AS menaikkan kadar faedah penanda arasnya sebanyak 75 mata asas, peningkatan tertinggi sejak 1994.

Shan berkata, Juwai IQI Global menjangkakan prospek pertumbuhan kukuh untuk tahun ini dengan kebarangkalian rendah kemelesetan pada 2022.

Beliau berkata, BNM akan mengekalkan kestabilan struktur dalam ringgit pada separuh kedua 2022 dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Malaysia dijangka sekitar empat hingga lima peratus.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kemungkinan untuk kadar yang menjadi penanda aras rujukan kadar faedah pinjaman domestik itu untuk meningkat adalah tinggi berikutan kadar inflasi telah mencecah paras 2.8 peratus.

"Kemungkinan untuk OPR dinaikkan pada Julai sememangnya ada. Inflasi sudah mencecah 2.8 peratus.

"Ini bermakna kadar faedah benar (setelah mengambil kira faktor inflasi) adalah -0.8 peratus. Justeru, justifikasi untuk menaikkan OPR bagi menggalakkan tabungan adalah jelas," katanya.

Mengenai unjuran kenaikan kadar selanjutnya, Mohd Afzanizam berkata, pihaknya menjangkakan kenaikan sebanyak 25 mata asas.

Berita Harian X