Sabtu, 25 Jun 2022 | 10:11am
Bangunan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kuala Lumpur. - NSTP/SALHANI IBRAHIM
Bangunan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kuala Lumpur. - NSTP/SALHANI IBRAHIM

Bekas ahli perbankan hadapi tuduhan menipu pelabur

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengenakan pertuduhan terhadap bekas ahli perbankan pelaburan Charles Chua Yi Fuan kerana menipu tujuh pelabur yang mengalami kerugian hampir RM1.67 juta antara Julai 2017 hingga Mei 2019.

Chua, bekas Naib Presiden Pasaran Hutang di Hong Leong Investment Bank Bhd, memaklumkan kepada mangsa bahawa mereka melabur dalam skim pelaburan yang tidak wujud membabitkan langganan sekuriti, menurut SC dalam kenyataan pada Jumaat.

Chua semalam dibawa ke dua Mahkamah Sesyen berasingan di Melaka untuk menghadapi 13 pertuduhan di bawah subseksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

"Hukuman bagi sabitan kesalahan di bawah subseksyen ini ialah hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta bagi setiap pertuduhan," menurut SC.

Kenyataan itu menyatakan bahawa tertuduh menuntut dibicarakan kepada semua pertuduhan terhadapnya.

Hakim Mahkamah Sesyen Nariman Badruddin membenarkan ikat jamin sebanyak RM300,000 dengan dua penjamin.

Di mahkamah lain, hakim Mahkamah Sesyen Maziah Joary Mohd Tajudin membenarkan ikat jamin sebanyak RM280,000, juga dengan dua penjamin.

Kedua-dua mahkamah mengarahkan Chua melaporkan diri kepada pegawai penyiasat SC setiap bulan, menurut SC.

Chua sebelum ini menghadapi empat pertuduhan pada 16 Jun 2022 di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berkaitan kesalahan yang sama. Chua menuntut dibicarakan atas pertuduhan itu.

SC terus mengingatkan pelabur supaya berhati-hati sebelum mengeluarkan wang mereka dan apabila mempertimbangkan peluang pelaburan.

Pelabur dinasihatkan untuk merujuk kepada senarai amaran pelabur SC mengenai laman web/platform yang tidak sah, produk pelaburan, syarikat dan individu.

Pelabur juga boleh menghubungi pejabat pengguna dan pelabur SC di 03-6204 8999 atau e-mel aduan@seccom.com.my untuk pertanyaan.

– Bernama

Berita Harian X