Jumaat, 24 Jun 2022 | 3:12pm
Ketibaan pekerja asing mungkin tidak mencukupi untuk memulihkan pengeluaran sawit di Malaysia - Foto Reuters
Ketibaan pekerja asing mungkin tidak mencukupi untuk memulihkan pengeluaran sawit di Malaysia - Foto Reuters

Ladang sawit terus hadapi kekurangan pekerja, baja

KUALA LUMPUR: Pengeluaran sawit di Malaysia dijangka tidak akan pulih sepenuhnya kerana masih lagi berdepan masalah kekurangan tenaga pekerja selain harga baja yang tinggi.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Chye Wen Fei, berkata buat masa sekarang, masih lagi belum dapat dipastikan bahawa pekerja asing akan tiba di Malaysia tepat pada waktu yang diperlukan iaitu semasa kitaran musim kemuncak pengeluaran.

"Seadainya mereka berada di sini sekali pun, jumlah ketibaan pekerja asing mungkin tidak mencukupi," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Beliau menambah, masalah kekurangan baja dan harga yang tinggi pula mungkin menyebabkan penggunaannya yang rendah, terutama dalam kalangan pekebun kecil yang merangkumi 40 peratus daripada kawasan tanaman sawit di Malaysia.

Dalam masa sama, katanya beberapa peramal cuaca termasuk Biro Meteorologi Australia (BOM), Jabatan Atmosfera dan Lautan Negara (NOAA) serta Pusat Ramalan Iklim Amerika Syarikat (CPC) baru-baru ini memberi petunjuk bahawa La Nina berkemungkinan besar akan kembali pada bulan September atau Oktober ini.

"La Nina berkemungkinan akan menjejaskan pengeluaran sawit kerana ia bertembung dengan musim kitaran pengeluaran.

"Ia juga akan menjejaskan penanaman kacang soya di Amerika Selatan, terutama Brazil yang merangkumi kira-kira 36 peratus pengeluaran kacang soya dunia pada 2021.

"Selain impak kepada pengeluaran, kami mengambil maklum bahawa harga minyak sawit mentah (MSM) serta kacang soya cenderung untuk mengukuh ketika La Nina berlaku dan akan menjadi lemah apabila cuaca kembali tenang," katanya.

Wen Fei berkata, HLIB Research maklum bahawa harga MSM diskaun kepada minyak kacang soya baru-baru ini telah meningkat kepada AS$400 satu tan.

"Ini berkemungkinan akan meningkatkan minat belian, terutama apabila jurang lebar harga antara kedua-duanya kekal dalam tempoh lebih lama dan paras inventori kekal rendah dalam kalangan negara-negara pengguna utama.

"Kami mengekalkan anggaran harga MSM bagi 2022, 2023 dan 2024 masing-masing pada RM5,500, RM4,500 dan RM4,500 satu tan," katanya.

Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri penyusutan selama enam hari berturut-turut semalam apabila ditutup lebih tinggi susulan aktiviti pembeliannya.

Kontrak bulan penanda aras ditutup pada paras terendah dalam tempoh enam bulan pada Rabu, diasak oleh asas-asas pasaran yang kurang memberangsangkan termasuk harga minyak kacang soya yang rendah, jangkaan peningkatan bekalan serta angka eksport yang lebih suram bagi tempoh 1 hingga 20 Jun.

Sewaktu ditutup, kontrak niaga hadapan MSM bagi bulan semasa Julai 2022 naik RM180 kepada RM4,870 satu tan, Ogos 2022 menokok RM234 kepada RM4,800 satu tan, kontrak bulan penanda aras September 2022 melonjak RM245 kepada RM4,744 satu tan dan Oktober 2022 meningkat RM262 kepada RM4,731 satu tan.

Harga fizikal MSM bagi Julai Selatan tidak berubah pada RM5,000 satu tan.

Berita Harian X