Jumaat, 24 Jun 2022 | 12:49pm
Harga ikan di sekitar Lembah Klang menunjukkan peningkatan sekitar 10 ke 20 peratus berikutan kekurangan bekalan -NSTP/Aizuddin Saad
Harga ikan di sekitar Lembah Klang menunjukkan peningkatan sekitar 10 ke 20 peratus berikutan kekurangan bekalan -NSTP/Aizuddin Saad

Harga makanan melonjak 5.2 peratus

PUTRAJAYA: Inflasi makanan pada bulan lalu terus meningkat ke paras baharu 5.2 peratus, tertinggi sejak November 2011, dengan 93 peratus item makanan merekodkan kenaikan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata daripada 93 peratus item yang meningkat dalam kumpulan makanan, 29.4 peratus naik dalam julat kurang daripada lima peratus, 37.7 peratus bertambah antara lima hingga 10 peratus manakala 32.9 peratus menokok lebih daripada 10 peratus.

Beliau berkata, makanan di rumah dan makanan di luar rumah masing-masing meningkat ketara sebanyak 5.5 peratus dan 5.1 peratus, mendorong kepada kenaikan inflasi makanan.

Katanya, subkumpulan daging mencatatkan peningkatan tertinggi 9.5 peratus pada Mei 2022 disebabkan oleh permintaan tinggi pada musim perayaan, diikuti oleh kenaikan sayur-sayuran (8.1 peratus); susu, keju & telur (lapan peratus); ikan & makanan laut (4.3 peratus) dan minyak & lemak (3.7 peratus).

"Sementara itu, kenaikan ketara bagi makanan di luar rumah dapat dilihat bagi nasi berlauk (8.3 peratus), roti canai (7.8 peratus), makanan berasaskan mee (5.7 peratus) dan masakan ayam (5.1 peratus)," katanya dalam satu kenyataan keluaran terkini Indeks Harga Pengguna (IHP), Mei 2022 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.

Kumpulan makanan adalah penyumbang utama peningkatan 2.8 peratus IHP bagi Mei 2022, melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga 2022 iaitu 1.9 peratus.

Mohd Uzir menambah, kos makanan yang meningkat ditambah dengan peningkatan permintaan antara punca kenaikan harga ayam pada kali ini.

Beliau berkata, ayam yang menjadi komponen terbesar dalam subkumpulan daging (46.1 peratus) meningkat sebanyak 13.4 peratus berbanding 7.5 peratus pada April 2022, dengan purata harga ayam pada Mei 2022 adalah RM9.70 sekilogram berbanding RM8.44 pada Mei 2021.

Lonjakan harga sayur-sayuran di pasaran ketika ini pula, katanya berpunca terutama daripada peningkatan harga baja, kos logistik, kekurangan tenaga buruh dan keadaan cuaca.

"Antara sayur-sayuran yang menunjukkan kenaikan tertinggi tahun ke tahun pada Mei 2022 adalah lada benggala (29.5 peratus), bendi (22.9 peratus), tomato (19.6 peratus), kacang buncis (19 peratus) dan bayam (18.5 peratus).

"Sementara itu, ikan-ikan yang paling murah dan menjadi pilihan pengguna turut meningkat, antaranya ikan pelaling yang meningkat kepada RM14.04, ikan keli RM10.05 dan ikan kembong RM16.65," katanya.

Sementara itu, semua kumpulan lain kecuali komunikasi turut merekodkan peningkatan dan mendorong kepada kenaikan inflasi keseluruhan 2.8 peratus.

Pengangkutan meningkat 3.9 peratus diikuti oleh restoran & hotel (3.7 peratus); hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (2.9 peratus); pelbagai barangan & Perkhidmatan (1.9 peratus) dan perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (1.8 peratus).

Sementara itu, kumpulan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain mencatatkan peningkatan 1.2 peratus manakala pendidikan meningkat satu peratus.

Kedua-dua kumpulan minuman alkohol & tembakau dan lesihatan masing-masing mencatatkan peningkatan marginal 0.4 peratus.

Kumpulan komunikasi kekal tidak berubah berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan dalam kumpulan pengangkutan pula disebabkan terutama oleh peningkatan purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON97 sebanyak 63.8 peratus (RM4.26 seliter) berbanding RM2.60 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kenaikan harga minyak ini adalah kesan daripada peningkatan harga minyak mentah Brent (65.2 peratus) kepada $AS112.37 setong pada Mei 2022.

Namun begitu, harga subsidi yang dilaksanakan bagi Petrol Tanpa Plumbum RON95 dan Diesel telah mengimbangi kenaikan inflasi kumpulan ini.

Harga bagi Petrol Tanpa Plumbum RON95 kekal pada RM2.05 seliter sejak Mac 2021.

Berita Harian X