Jumaat, 24 Jun 2022 | 10:19am
(Gambar hiasan) Pelanggan memilih cili merah ketika tinjauan harga barangan basah di Pasar Chow Kit. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
(Gambar hiasan) Pelanggan memilih cili merah ketika tinjauan harga barangan basah di Pasar Chow Kit. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

Isyarat benar harga naik selagi kesejahteraan terjamin

KUALA LUMPUR: Pemberian bantuan tunai mencerminkan kerajaan terus ingin memastikan kesejahteraan kumpulan rentan terjamin dalam pada membenarkan peningkatan harga barangan susulan pemansuhan harga siling beberapa barangan utama, demikian kata penganalisis.

CGSCIMB dalam nota penyelidikannya berkata, peningkatan dalam pemberian tunai kepada B40 menandakan sokongan kerajaan untuk golongan rentan dalam pada kesukaran berdepan kenaikan harga.

Ia berkata, pelbagai usaha kerajaan untuk cuba membendung kenaikan harga, termasuk pelaksanaan pembayaran subsidi yang lebih pantas, larangan eksport, penguatkuasaan kawalan harga yang lebih ketat dan peningkatan import makanan sejuk beku telah mengehadkan kesan setakat ini.

"Harga makanan, yang menyumbang 16.9 peratus bakul pengguna, telah dilihat beberapa kenaikan paling mendadak pada Januari-April 2022, dengan harga daging mendahului senarai (+7.7 peratus tahun ke tahun), diikuti dengan komponen susu, keju dan telur (+6.0 peratus tahun ke tahun) dan minyak dan lelemak (+3.9 peratus tahun ke tahun)," katanya dalam nota penyelidikannya.

CGSCIMB berkata, pada 19 Mei 2022, Kementerian Pertanian memansuhkan permit import (AP) untuk import komoditi agromakanan terpilih, iaitu kobis, kelapa, ayam serta susu, yang mana ia adalah sebagai reaksi kepada isu bekalan yang menyebabkan kenaikan harga barangan berkenaan.

Ia berkata, kerajaan juga telah menyatakan bahawa ia sedang mengkaji untuk memansuhkan AP untuk item berkaitan bukan makanan lain.

"Kami melihat pemansuhan keperluan AP untuk import sebagai positif untuk bekalan tetapi tidak mungkin mengekalkan harga rendah.

"Selain itu, harga elektrik di bawah mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) tertakluk kepada semakan pada Julai, yang mungkin membawa kepada kenaikan, memandangkan peningkatan harga input elektrik iaitu gas dan arang batu," katanya.

CGSCIMB juga menaikkan unjurannya bagi Indeks Harga Pengguna (IHP) 2022 kepada 3.1 peratus berbanding 2.5 peratus sebelum ini dengan menjangkakan tekanan harga yang lebih kuat menuju ke depan.

Bagi 2023, ia menjangkakan IHP meningkat sebanyak 3.2 peratus tahun ke tahun dengan andaian beberapa pelarasan terhadap harga bahan api untuk kumpulan berpendapatan tinggi.

"Momentum harga mungkin kekal kukuh menuju ke depan. Pemansuhan siling harga akan membawa kepada lonjakan harga ayam dan makanan berkaitan telur dalam tempoh terdekat.

"Sementara itu, pemansuhan AP mungkin menghalang gangguan bekalan, tetapi harga import masih dijangka tidak menyimpang secara ketara berbanding harga domestik," katanya.

Berita Harian X