Isnin, 20 Jun 2022 | 5:37pm
Kemahiran pekerja perlu dipertingkat dengan perubahan teknologi. - Foto hiasan NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kemahiran pekerja perlu dipertingkat dengan perubahan teknologi. - Foto hiasan NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

TNB latih pekerja gig

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) memperluas skop Program TNB Reskilling Malaysia dengan mencakupi sektor ekonomi gig yang kini semakin berkembang pesat.

TNB dalam kenyataan berkata, langkah itu diambil sebagai satu usaha membantu pemulihan ekonomi negara pasca pandemik COVID-19.

Sejajar dengan peralihan kepada pendigitalan, iaitu ciri utama Revolusi Perindustrian 4.0 yang mendorong kepada peningkatan dalam aturan kerja yang lebih fleksibel dan tanpa majikan, usaha ini akan mendorong pekerja gig melonjakkan momentum pasaran buruh tempatan, katanya.

Pekerja ekonomi gig ialah individu yang bekerja sendiri dan bebas serta tertumpu kepada skop kerja dan tempoh masa yang ditetapkan dengan bayaran dipersetujui.

Ketua Pegawai Insan TNB Wahizan Abd Rahman berkata, cara bekerja sekarang secara beransur-ansur beralih kepada kaedah jarak jauh dan hibrid, bekerja dari rumah sudah menjadi kebiasaan baharu di Malaysia, justeru ia dijangka mendorong peningkatan permintaan pekerja gig.

"Tetapi ramai juga yang berdepan cabaran dalam mencari kerja atau perniagaan. Kami percaya, inilah masa yang sesuai untuk peserta ekonomi gig melangkaui peranan semasa mereka dan melatih semula diri untuk masa depan lebih baik, lebih cerah," katanya.

Wahizan berkata, inisiatif Program TNB Reskilling Malaysia membantu mereka meningkatkan keupayaan agar boleh meneroka peluang ekonomi gig yang baharu dan lebih meluas dalam usaha menambah pendapatan.

Sementara itu, Pengarah Urusan TNB Integrated Learning Solutions (TNB ILSAS), Siti Sarah Mohd Said berkata: "Kami mereka bentuk modul jangka pendek ini khusus untuk mempersiap pekerja gig sejajar dengan kemajuan pasaran supaya mereka beroleh manfaat melalui penyertaan lebih bermakna berbekalkan kemahiran tambahan".

Menurut kenyataan itu lagi, latihan itu ditaja sepenuhnya oleh TNB dan syarat kemasukan ke Program TNB Reskilling Malaysia mempunyai perjanjian perkhidmatan yang ditandatangani pekerja dan syarikat atau berjaya mendaftarkan perniagaan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia, atau mempunyai kelayakan perniagaan atau perjanjian berkaitan dengannya.

Pemilihan pekerja gig ini akan dilaksanakan melalui dua sesi pada bulan Jun 2022, mereka yang berjaya akan mengikuti latihan dalam bidang kemahiran digital, penyelenggaraan penyaman udara, automasi dron untuk Industri 4.0 dan pembentukan minda perniagaan.

Latihan itu ditaja sepenuhnya oleh TNB dan syarat kemasukan ialah mempunyai perjanjian perkhidmatan yang ditandatangani pekerja dan syarikat (penyedia perkhidmatan); atau berjaya mendaftarkan perniagaan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau mempunyai kelayakan perniagaan atau perjanjian berkaitan dengannya.

Program itu dilaksanakan oleh TNB ILSAS, di Bangi, Selangor sejak tahun 2020 apabila TNB diamanahkan oleh kerajaan untuk membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik bagi mendapatkan padanan pekerjaan kemudian menjalani program pemahiran atau latihan semula. – BERNAMA

Berita Harian X