Khamis, 9 Jun 2022 | 11:45am
Saham syarikat sarung tangan merosot dalam tempoh setahun - Foto Reuters
Saham syarikat sarung tangan merosot dalam tempoh setahun - Foto Reuters

Tauke sarung tangan getah 'hilang' RM25 bilion

KUALA LUMPUR: Pengeluar sarung tangan getah Malaysia, yang muncul antara sektor paling untung tahun lalu kembali berdepan dengan realiti selepas jumlah kekayaan pengasas lima syarikat terbesar industri itu di negara ini jatuh sebanyak RM25 bilion dalam tempoh setahun.

Permintaan bagi peralatan perlindungan peribadi mendatar apabila pandemik semakin reda, sekali gus menurunkan harga saham syarikat berkenaan, demikian menurut kenyataan Forbes Asia.

Nilai kekayaan Kuan Kam Hon daripada Hartalega Holdings Bhd dan Tan Sri Lim Wee Chai daripada Top Glove Corporation Bhd mencatatkan penurunan terbesar, dengan kedua-duanya menduduki tempat ke-11 dan 14 dalam senarai individu paling kaya di Malaysia.

Pasangan suami isteri daripada Supermax Corporation Bhd, Datuk Seri Stanley Thai dan Datin Seri Cheryl Tan pula menyaksikan peratus kemerosotan terbesar, apabila nilai kekayaan mereka menguncup lebih daripada dua pertiga kepada AS$340 juta (RM1.5 bilion).

Nilai kekayaan lima syarikat sarung tangan terbesar, termasuk Tan Sri Lim Kuang Sia daripada Kossan Rubber Industries Bhd dan Wong Teek Son daripada Riverstone Holdings Limited jatuh lebih daripada AS$5.7 bilion (RM25 bilion).

Berita Harian X