Selasa, 7 Jun 2022 | 2:25pm
HSBC mengunjurkan KDNK Malaysia berkembang 5.5 peratus tahun ini
HSBC mengunjurkan KDNK Malaysia berkembang 5.5 peratus tahun ini

HSBC jangka ekonomi, ringgit akan pulih

KUALA LUMPUR: Pemulihan ekonomi Malaysia dijangka kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan berkembang 5.5 peratus tahun ini manakala ringgit akan berada di paras yang lebih stabil.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Pelaburan Asia Tenggara

Global Private Banking and Wealth HSBC, James Cheo, berkata pemacu utama kepada pertumbuhan adalah pembukaan sempadan antarabangsa, pertumbuhan harga komoditi serta momentum berterusan aktiviti pembuatan, terutama semikonduktor.

Beliau berkata, KDNK Malaysia berada di kedudukan yang teguh dan berpendapat akan berada di sekitar 5.5 peratus.

"Beberapa faktor seperti pembukaan sempadan, lonjakan harga komoditi, perdagangan yang kembali meningkat serta aktiviti pembuatan yang lebih tinggi membantu kepada pengukuhan KDNK.

"Kami menjangkakan 5.5 peratus adalah pertumbuhan KDNK yang ideal untuk Malaysia. Kitaran ekonomi global juga dijangka akan berterusan tetapi perlahan, inflasi akan berkurangan secara perlahan, dan jangkaan kenaikan kadar AS akan menjadi sederhana pada separuh kedua 2022, walaupun kejutan tenaga dan gangguan rantaian bekalan kekal berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas taklimat media secara maya mengenai Tinjauan Pelaburan HSBC Separuh Kedua 2022, hari ini.

Cheo berkata, secara dasarnya, rantau ASEAN mencatatkan pemulihan kukuh dalam aktiviti ekonomi tahun ini dengan sokongan mempercepatkan pembukaan semula ekonomi di bawah strategi 'hidup dengan COVID'.

Beliau berkata, usaha yang dipercepat untuk menghapuskan keperluan kuarantin dan ujian COVID-19 di pintu masuk telah menyaksikan ASEAN dapat memperoleh peningkatan mendadak dalam pelancongan, termasuk Malaysia.

Katanya, Malaysia memperoleh keuntungan daripada asas eksport yang pelbagai dengan menjadi satu-satunya pengeksport bersih minyak dan gas utama Asia dan pengeksport minyak sawit kedua terbesar di dunia.

"Ekonomi Malaysia berkembang lima peratus pada suku pertama 2022 ke tahap pra-pandemik. Dengan kesan sekatan pandemik yang semakin longgar, penggunaan swasta kembali pulih dan pelaburan menjadi stabil walaupun ia membawa kepada pertumbuhan import mengatasi eksport.

"Permintaan dalam negeri akan terus meningkat pada suku ini dan seterusnya, disokong oleh pasaran buruh yang semakin ketat," katanya.

Mengenai ringgit, Cheo berkata, langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan penanda aras pinjaman Kadar Dasar Semalaman (OPR) dilihat berpotensi mengurangkan peningkatan ketara kadar inflasi atau harga barangan, di samping mengukuhkan semula nilai mata wang tempatan.

Bagaimanapun, beliau berkata usaha seterusnya memulihkan ringgit adalah sangat bergantung kepada langkah yang akan diambil oleh bank pusat.

Sehubungan itu, HSBC menjangkakan BNM akan meningkatkan OPR sebanyak 50 mata asas lagi, mengakhiri tahun ini pada 2.5 peratus.

"Kami berpendapat bahawa ringgit berbanding dolar AS akan stabil pada separuh kedua ini dan bergerak kepada RM4.28 menjelang akhir tahun , apabila sentimen pasaran secara global bertambah baik," katanya.

Berita Harian X