Khamis, 2 Jun 2022 | 7:15pm

Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah selepas sesi dagangan yang kurang menggalakkan berikutan pelabur dilihat enggan membuat langkah yang lebih ketara tanpa pemangkin belian, kata peniaga.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 3.51 mata kepada 1,549.90 daripada 1,553.41 pada Rabu.

Indeks, yang naik 1.31 mata kepada 1,554.72, bergerak antara 1,546.29 dan 1,555.54 sepanjang hari.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 481 berbanding 423 manakala 383 kaunter tidak berubah, 956 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 2.49 bilion unit bernilai RM1.90 bilion daripada 2.57 bilion unit bernilai RM2.49 bilion pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata di peringkat serantau, indeks utama ditutup rendah berikutan pelabur bimbang mengenai kadar faedah yang tinggi pada masa akan datang dan peningkatan kes koronavirus di beberapa kawasan di rantau ini.

Kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kemelesetan global terus menjejaskan pasaran serantau, katanya.

Dalam negara, walaupun sentimen pasaran berhati-hati dan ketidaktentuan yang meningkat di FBM KLCI, Thong percaya aktiviti belian saham pada harga rendah akan berlaku berdasarkan penilaian saham tempatan yang murah, selain aliran masuk dana asing yang berterusan dan keadaan makroekonomi yang bertambah baik di negara ini.

"Oleh itu, kami menjangka indeks petunjuk pasaran akan diniagakan tinggi dalam julat 1,545-1,560 menjelang hujung minggu, dengan paras halangan segera pada 1,575 dan paras sokongan pada 1,530," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 5.0 sen kepada RM8.94, IHH Healthcare menambah 4.0 sen kepada RM6.54, Public Bank dan CIMB, masing-masing susut 2.0 sen kepada RM4.61 dan RM5.18 serta Petronas Chemicals jatuh 7.0 sen kepada RM9.99.

Daripada saham aktif, Sapura Energy merosot 1.0 sen kepada 6.0 sen, MNC Wireless dan Yong Tai, masing-masing berkurangan setengah sen kepada 1.5 sen dan 9.5 sen, Top Glove susut 11 sen kepada RM1.26 manakala Widad tidak berubah pada 36 sen.

Di papan indeks, FBM 70 naik 32.42 mata kepada 13,267.05, FBM ACE meningkat 52.75 mata kepada 5,236.40 manakala Indeks FBMT 100 berkurangan 12.57 mata kepada 10,756.21, Indeks FBM Emas merosot 12.89 mata kepada 11,057.90 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 16.90 mata kepada 11,396.60.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.31 mata kepada 200.35, Indeks Perladangan susut 34.50 mata kepada 7,902.05 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 0.32 mata kepada 16,746.26.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.71 bilion saham bernilai RM1.72 bilion daripada 1.92 bilion saham bernilai RM2.35 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 313.22 juta unit bernilai RM67.32 juta daripada 362.54 juta unit bernilai RM58.65 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 463.59 juta saham bernilai RM110.38 juta daripada 282.48 juta saham bernilai RM81.58 juta sebelum ini.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 261.09 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (354.67 juta), pembinaan (35.13 juta), teknologi (125.35 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (54.62 juta), hartanah (164.56 juta), perladangan (40.51 juta), REIT (6.58 juta), dana tertutup (200), tenaga (491.25 juta), penjagaan kesihatan (94.95 juta), telekomunikasi dan media (32.18 juta), pengangkutan dan logistik (34.38 juta) dan utiliti (16.09 juta). - BERNAMA

Berita Harian X