Khamis, 26 Mei 2022 | 10:28am
NCIA melaksanakan langkah agresif untuk mempromosikan NCER kepada pelabur
NCIA melaksanakan langkah agresif untuk mempromosikan NCER kepada pelabur

NCIA sasar pelaburan RM23 bilion di wilayah utara

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menyasarkan pelaburan diluluskan RM23 bilion dengan jangkaan mewujudkan 28,000 peluang pekerjaan baharu tahun ini.

Ketua Eksekutifnya, Mohamad Haris Kader Sultan, berkata sasaran tertinggi sejak 2009 itu mampu dicapai disokong langkah agresif NCIA mempromosikan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) kepada pelabur menerusi pembukaan taman industri baharu termasuk di Kedah, Perlis dan Perak.

"Ekonomi semakin pulih dan sempadan antarabangsa juga dibuka. Kita bakal menyaksikan momentum pelaburan yang agresif ke NCER tahun ini.

"Justeru, kami yakin untuk mencapai sasaran ini selepas merekodkan pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah tahun lalu iaitu RM21 bilion meskipun negara dan dunia masih bergelut dengan pandemik," katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Mohamad Haris berkata, NCIA meraih pelaburan diluluskan terkumpul RM152 bilion sejak 2009, melepasi sasaran awal yang ditetapkan menjelang 2027 iaitu RM146 bilion.

"Kami akan mengumumkan sasaran baharu selepas berjaya melepasi sasaran pelaburan diluluskan lebih awal daripada jangkaan.

"Fokus kami kini adalah membawa masuk lebih banyak pelaburan ke NCER dan memperkasakan modal insan sebagai persiapan dalam menyokong keperluan bakat oleh pelabur," katanya.

Mengulas mengenai tumpuan pelaburan di NCER, beliau menjelaskan, ia tidak tertumpu di Pulau Pinang semata-mata, sebaliknya NCIA memperkemaskan keupayaan destinasi pelaburan termasuk di Perak dan Perlis.

"Di Perlis, kami sedang membangunkan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping berkeluasan keseluruhan 809.4 hektar dengan fasa pertama 178.1 hektar.

"Fokus untuk kawasan perindustrian ini membabitkan sektor elektrik dan elektrikal, halal, automotif serta pembuatan mesra alam.

"Bagi Perak pula, projek yang sedang dimajukan adalah Silver Valley Technology Park (SVTP) berkeluasan 1,214.1 hektar dengan pembangunan fasa pertama bermula suku keempat 2022 berkeluasan 323.75 hektar.

"Satu lagi projek di Perak adalah di Tapah yang akan dibangunkan menjelang tahun depan dengan fokus utama menjadikan kawasan ini sebagai zon agro," katanya.

Mengenai Kedah Rubber City (KRC), Mohamad Haris berkata, fasa pertama pembangunan membabitkan keluasan 226.6 hektar daripada berkeluasan 485.6 hektar di Padang Terap, dijangka siap menjelang tahun depan.

"Untuk KRC, NCIA berjaya menarik pelaburan diluluskan berjumlah RM4 bilion setakat ini dan dijangka mewujudkan 7,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Kedah," katanya.

Berita Harian X