Jumaat, 13 Mei 2022 | 8:28pm
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)

MPOB tumpu lima bidang tangani isu sawit

KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menumpukan fokus terhadap lima bidang keutamaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menangani keperluan, isu serta cabaran semasa yang dihadapi oleh industri sawit semasa mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) 2022 yang berakhir semalam.

Pengerusinya, Tuan Jugah Anak Muyang@Tambat berkata lima bidang fokus itu adalah prestasi hasil, pembangunan mampan, mekanisasi dan automasi, keselamatan makanan dan pemakanan serta penambahan nilai adalah selaras dengan lima teras Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030).

Lima teras DAKN 2030 itu merangkumi kemampanan, produktiviti, penjanaan nilai, pembangunan pasaran dan keterangkuman bagi mempercepatkan pertumbuhan sektor minyak sawit.

"Mesyuarat PAC adalah platform yang mana idea, inovasi dan penyelesaian dipupuk untuk meningkatkan usaha R&D MPOB dan memenuhi keperluan industri kelapa sawit.

"PAC yang terdiri daripada saintis serta pakar terkemuka dalam industri kelapa sawit tempatan dan antarabangsa, mengutamakan serta bertujuan meningkatkan pencapaian penyelidikan kelapa sawit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata ahli PAC telah berbincang mengenai penambahbaikan bahan penanaman dengan pengurusan ladang yang baik sebagai jalan ke hadapan bagi memastikan hasil yang lebih tinggi.

"Industri ini memerlukan sawit kerdil dan bahan tanaman tahan Ganoderma untuk menangani hasil purata negara yang masih tidak berubah.

"Teknologi bioteknologi, pembiakan dan pengklonan termaju akan membolehkan pembangunan bahan tanaman unggul untuk meningkatkan ketahanan penyakit, ciri kualiti minyak yang lebih tinggi, berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan yang paling penting, menambahkan hasil," katanya.

Beliau ketika mengulas mengenai mekanisasi dan automasi, berkata MPOB akan meneruskan R&D dalam projek berkaitan penambahbaikan alat penuaian seperti Cantas kerana ia adalah operasi lapangan paling kritikal untuk dimekanisasikan.

Ahli PAC, dengan kepakaran serta pengetahuan luas mereka dalam minyak dan lelemak melihat secara terperinci projek penyelidikan strategik termasuk isu pembangunan mampan serta mencadangkan penyelesaian praktikal kepada isu berkenan.

"Pelbagai isu telah dibangkitkan mengenai kemampanan dan perubahan iklim seperti pelepasan gas rumah hijau di ladang sawit, biodiversiti dan usaha pemuliharaan, penebangan hutan serta pencemaran air, udara dan tanah," katanya lagi.

Katanya, isu mengenai nilai tambah turut dibincangkan semasa PAC 2022 termasuk lebihan biojisim sawit, minyak sawit dan derivatifnya.

-BERNAMA

Berita Harian X