Jumaat, 13 Mei 2022 | 4:04pm
Penurunan ringgit adalah sejajar dengan prestasi mata wang serantau - NSTP/Asyraf Hamzah
Penurunan ringgit adalah sejajar dengan prestasi mata wang serantau - NSTP/Asyraf Hamzah

Kelemahan ringgit jejas pasaran kewangan

KUALA LUMPUR: Pasaran kewangan domestik bergantung kepada beberapa tempoh ketidaktentuan yang tinggi selepas ringgit menyusut 0.7 peratus pada suku pertama 2022, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Namun begitu, bank pusat berkata, kedudukan luaran negara yang kukuh dan sistem perbankan yang berdaya tahan membolehkan ekonomi berdepan dengan kejutan luaran.

"Nilai ringgit menurun sebanyak 0.7 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku pertama 2022, yang mana secara umumnya, penurunan itu adalah sejajar dengan pergerakan mata wang serantau," kata BNM dalam satu kenyataan.

Pada suku pertama 2022, BNM berkata, pembiayaan bersih kepada sektor swasta berkembang sebanyak 4.5 peratus berbanding 4.7 peratus pada suku keempat 2021 dalam keadaan pertumbuhan bon korporat terkumpul yang lebih rendah sebanyak 4.6 peratus.

Ia berkata, pertumbuhan pinjaman terkumpul mampan pada 4.4 peratus dan pertumbuhan pinjaman perniagaan menjadi sederhana kepada 4.3 peratus, mencerminkan pertumbuhan pinjaman modal kerja terkumpul yang lebih rendah dalam keadaan pertumbuhan bayaran balik pinjaman yang terus tinggi.

Walau bagaimanapun, katanya, pertumbuhan pengeluaran pinjaman modal kerja kekal kukuh pada suku pertama sejajar dengan pemulihan kegiatan ekonomi.

Bagi isi rumah, bank pusat berkata, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat merentas kebanyakan tujuan dengan pertumbuhan yang mantap dalam pengeluaran pinjaman.

Katanya, keadaan itu sekali gus mencerminkan permintaan yang berterusan untuk pinjaman dalam kalangan isi rumah, terutama bagi pembelian rumah dan kereta.

"Daya tahan isi rumah terus disokong oleh keupayaan membayar hutang yang teguh dan penampan kewangan yang utuh pada peringkat agregat, dengan pemberian pinjaman disokong oleh standard taja jamin yang berhemat dan penilaian kemampuan peminjam mengambil pinjaman oleh bank," katanya.

Berita Harian X