Khamis, 12 Mei 2022 | 12:46pm
Berdasarkan sejarah, enaikan OPR dapat memacu penggunaan swasta - Foto hiasan
Berdasarkan sejarah, enaikan OPR dapat memacu penggunaan swasta - Foto hiasan

Kenaikan OPR tidak jejas prospek ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) tidak akan melemahkan prospek pertumbuhan ekonomi masa hadapan, demikian pandangan penganalisis.

TA Securities dalam notanya berkata, kenaikan 25 mata asas OPR kepada 2.00 peratus tidak akan memberi kesan negatif meskipun langkah berkenaan secara langsung akan mempengaruhi kadar pinjaman asas (BLR) atau kadar asas (BR).

"Kami menjangkakan kenaikan OPR yang diumumkan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM tidak akan memberi kesan kepada pertumbuhan penggunaan swasta.

"Ini kerana kuantum 25 mata asas dianggap kecil dan boleh diuruskan serta berada dalam konsensus pasaran.

"Kesan bayaran bulanan yang lebih tinggi sedikit dijangka dapat ditampung dengan penambahbaikan pasaran buruh, pendapatan boleh guna yang lebih tinggi dan pemulihan ekonomi yang berterusan," katanya.

Firma penyelidikan pasaran itu berkata, berdasarkan rekod, apabila BNM menaikkan OPR pada Januari 2018 sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus, penggunaan swasta mencatat pertumbuhan sederhana sebanyak 6.6 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2018 berbanding 6.9 peratus pada suku keempat 2017.

"Bagaimanapun, penggunaan swasta meningkat kepada lapan peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2018 didorong pengukuhan berterusan dalam pendapatan dan pekerjaan.

"Pada masa itu, perbelanjaan pengguna turut dirangsang oleh inflasi yang lebih rendah berikutan pelaksanaan pada kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta sentimen pengguna yang lebih kukuh," katanya.

TA Securities berkata, pada suku kedua 2018, kadar pengangguran berada pada 3.3 peratus dan inflasi pula pada 1.3 peratus.

"Oleh itu, kami percaya kenaikan OPR juga akan memberi kesan kepada kadar inflasi pada bulan-bulan mendatang seperti terbukti pada Januari 2018 apabila Indeks Harga Pengguna (IHP) menyederhana kepada 2.7 peratus tahun ke tahun berbanding 3.6 peratus sebelumnya," katanya.

Selain itu, ia menjelaskan bahawa kenaikan OPR dijangka mendorong aliran masuk modal ke Malaysia selepas pasaran bon negara mencatat kemasukan bersih asing RM4.5 bilion dan pelabur asing ekuiti tempatan menjadi pembeli bersih RM3.4 bilion pada Januari 2018.

"Kami juga percaya kenaikan OPR akan menghalang kelemahan selanjutnya ringgit yang kini didagangkan melebihi RM4.38 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

"Kami juga menjangkakan ringgit akan mengukuh, sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat seperti mana yang pernah disaksikan pada Januari 2018 apabila ringgit meningkat 3.7 peratus bulan ke bulan kepada RM3.899 daripada RM4.047 pada bulan sebelumnya," katanya.

TA Securities menjangkakan satu lagi kenaikan OPR akan berlaku menjelang akhir tahun dan jika ia direalisasikan, satu lagi kenaikan 25 mata asas menjadikan kadar berada pada 2.25 peratus.

"Kami tidak menjangkakan BNM hanya akan melaraskan OPR sebagai tindak balas kepada perubahan luaran seperti langkah pengetatan yang agresif di AS dan kelemahan ringgit baru-baru ini.

"Sebarang keputusan untuk menaikkan OPR akan menunjukkan keyakinan BNM terhadap asas ekonomi Malaysia termasuk kestabilan pasaran domestik," katanya.

Berita Harian X