Selasa, 10 Mei 2022 | 12:12pm
70 peratus daripada perabot pejabat COE diimport dari Malaysia
70 peratus daripada perabot pejabat COE diimport dari Malaysia

Perabot dihasilkan Malaysia laris di AS

WASHINGTON: COE Distributing Inc, pengedar borong terbesar perabot di Amerika Syarikat (AS), berhasrat untuk melipatgandakan import produk terbabit dari Malaysia kepada RM252 juta bagi tempoh dua hingga tiga tahun lagi berbanding RM126 juta pada masa ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pecutan Eksport) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Sharimahton Mat Saleh, berkata ini berikutan lonjakan permintaan terhadap perabot berkualiti tinggi yang dihasilkan di Malaysia.

Malah, katanya, pada masa ini 70 peratus daripada perabot pejabat COE diimport dari Malaysia.

"Selain itu, kenaikan tarif yang dikenakan oleh pentadbiran bekas Presiden AS Donald Trump ke atas China, juga menyebabkan perabot keluaran China menjadi lebih mahal," katanya kepada Bernama dan stesen TV3 selepas menghadiri mesyuarat dengan Presiden merangkap Ketua Pegawai Operasi COE, Michael Flaherty, di sini, semalam.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyertai Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke AS selama 10 hari sehingga 18 Mei 2022.

Sebelum pertemuan dengan Flaherty, Mohamed Azmin menemui Naib Presiden Kanan Operasi Pengeluaran Texas Instruments Inc, Mohammad Yunus yang turut menyuarakan hasrat untuk mengembangkan kemudahan syarikat itu di Malaysia.

Texas Instruments yang ditubuhkan pada 1930 adalah sebuah syarikat semikonduktor global yang berpangkalan di AS dengan 15 kemudahan pengeluaran di serata dunia, 11 makmal fab wafer, tujuh kilang pemasangan dan ujian serta kemudahan termasuk penghentakan wafer.

Ia mempunyai dua kemudahan pengeluaran di Malaysia iaitu di Kuala Lumpur dan Melaka.

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, Texas Instruments merancang untuk mengembangkan lagi kemudahannya di Malaysia dalam tempoh 20 tahun akan datang yang dijangka dapat mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi tambahan di negara ini.

Menurutnya, Mohammad berkongsi mengenai minat berterusan syarikat itu di Malaysia yang merangkumi aspek reka bentuk, pembangunan dan pembuatan berkaitan penghentakan wafer sebagai projek pengembangan bagi peningkatan teknologi.

"Legasi Texas Instruments di Malaysia sebagai penyumbang besar teknologi telah mencecah usia melebihi lima dekad.

"Entiti syarikat itu di Kuala Lumpur dan Melaka juga memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dari segi pekerjaan berkemahiran tinggi termasuk pengambilan siswazah universiti tempatan Malaysia selain memberi kesan limpahan kepada industri rantaian bekalan tempatan," katanya.

MIDA berkata, Texas Instruments mempunyai 100 peratus tenaga kerja Malaysia dengan lebih 5,000 pekerja di Kuala Lumpur dan Melaka yang jelas membuktikan keyakinannya terhadap tenaga tempatan.

"Sumbangan syarikat itu kepada ekonomi Malaysia juga amat besar apabila menyumbang 2.0 peratus kepada jumlah eksport semikonduktor negara ini pada 2021," katanya.

Menurut MIDA, Texas Instruments turut mnghargai sokongan kerajaan Malaysia sepanjang tempoh kehadirannya di Malaysia, terutama ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020.

-BERNAMA

Berita Harian X