Jumaat, 6 Mei 2022 | 2:39pm
Malaysia mempunyai kawalan yang lebih besar ke atas pergerakan dasar monetari berbanding negara serantau - Foto Reuters
Malaysia mempunyai kawalan yang lebih besar ke atas pergerakan dasar monetari berbanding negara serantau - Foto Reuters

Ekonomi Malaysia diunjur kekal kukuh

KUALA LUMPUR: Unjuran ekonomi Malaysia tetap kukuh walaupun Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengenakan langkah kenaikan kadar yang agresif, menurut CGS-CIMB.

Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) menaikkan julat sasaran bagi Kadar Dana Persekutuan (FFR) sebanyak 50 mata asas (bps) semasa mesyuaratnya pada 3 dan 4 Mei 2022, selain memberikan isyarat mengenai jangkaan kenaikan 50 bps pada dua lagi mesyuaratnya yang akan datang.

Dalam nota hari ini, CGS-CIMB berkata, Fed juga dijangka menggunakan medium dasar lain untuk menguruskan inflasi dengan mengurangkan lembaran imbangannya dan membenarkannya menyusut sebanyak AS$47.5 bilion bagi Jun hingga Ogos, sebelum meningkat kepada AS$95 bilion setiap bulan mulai September.

Firma penyelidikan itu berpandangan, peningkatan mendadak FFR dan prospek perbezaan yang lebih luas ke atas kadar dasar ASEAN mungkin mencetuskan ketidakstabilan kadar pertukaran asing serantau dan boleh mendorong bank-bank pusat di rantau ini untuk mempertimbangkan semula trajektori dasar monetari masing-masing.

Setakat ini, niaga hadapan Dana Fed menunjukkan peluang kenaikan FFR 50 bps sebanyak 83 peratus pada 15 Jun, dan peluang yang sama untuk kenaikan 50 bps pada 27 Julai.

"Kemungkinan yang lebih kuat untuk kenaikan pada dua lagi mesyuarat Fed yang akan datang mungkin memperlihatkan kelemahan mata wang yang berterusan di rantau ini.

"Bagaimanapun, kami percaya bank pusat tidak akan bertindak balas dengan Fed, namun mengekalkan kadar dasar monetari masing-masing," katanya.

CGS-CIMB berkata, Malaysia mungkin mempunyai kawalan yang lebih besar ke atas pergerakan dasar monetarinya berbanding negara serantau memandangkan negara ini adalah penerima utama harga komoditi yang tinggi terutama dengan harga minyak sawit dan gas asli yang mencatatkan aliran kenaikan.

"Sehubungan itu, aliran masuk ke atas akaun semasanya dapat mengimbangi aliran keluar akaun kewangannya. Selain itu, ia mempunyai langkah lain yang boleh dimanfaatkan untuk meminimumkan ketidaktentuan ringgit, termasuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menghantar semula wang dari luar negara.

"Bank Negara Malaysia (BNM) terus mengulangi pendirian berhati-hati, berbeza dengan Fed yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah dan kami yakin bank pusat akan terus tertumpu kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Kami mengekalkan ramalan kepada dua kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 bps pada separuh pertama 2022," katanya.

Bagi Indonesia, CGS-CIMB berkata, kejelasan kadar Fed terhadap FFR boleh mengurangkan ketidakstabilan rupiah dengan sokongan selanjutnya daripada akaun semasa Indonesia yang menggalakkan, kedudukan fiskal serta kenaikan yang dicadangkan dalam Nisbah Keperluan Rizab (RRR) pada Jun dan September.

"Pada pandangan kami, ketidaktentuan utama terhadap dasar monetari Indonesia mengekalkan prospek inflasinya memandangkan kerajaan tersebut mungkin menyesuaikan harga elektrik dan bahan api pada separuh kedua 2022," katanya.

Sementara itu, dasar monetari Bank of Thailand (BOT) baru-baru ini menjadi lebih sensitif terhadap pertumbuhan KDNK dan kurang daripada kadar faedah global berbanding sebelum ini.

CGS-CIMB berkata, berikutan aktiviti ekonomi yang lebih perlahan pada Mac kerana kenaikan inflasi import, bank pusat akan mengekalkan pendirian untuk mengekalkan kadar faedah rendah di samping menangani tekanan inflasi import daripada aspek fiskal.

"Terdapat tekanan yang jelas untuk BOT memberi tindak balas, terutama jika kenaikan harga semakin meluas. Bagaimanapun, tekanan harga adalah sederhana dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) April terkini yang dikeluarkan hari ini menunjukkan trajektori yang lebih lemah daripada dijangkakan.

"Kami menjangkakan BOT akan mengekalkan dasar monetarinya untuk tidak berubah sepanjang 2022 sebanyak 0.5 peratus," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X