Selasa, 3 Mei 2022 | 1:33am
Harga minyak sawit mentah yang tinggi pada masa ini membolehkan pekebun kecil termasuk peneroka FELDA menikmati pendapatan yang tinggi. - Foto hiasan
Harga minyak sawit mentah yang tinggi pada masa ini membolehkan pekebun kecil termasuk peneroka FELDA menikmati pendapatan yang tinggi. - Foto hiasan

Harga sawit tinggi, pekebun kecil raih pendapatan besar

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi pada masa ini bukan saja memberikan impak positif kepada pasaran tetapi turut membolehkan pekebun kecil termasuk peneroka FELDA menikmati pendapatan yang tinggi.

Niaga hadapan minyak sawit mencatat pada paras penutup tertinggi dalam sejarah pada Jumaat iaitu RM7,105 setiap tan atau naik 2.76 peratus.

Secara umumnya, harga MSM diniagakan lebih tinggi pada Mac 2022, meningkat 15.8 peratus atau RM936.50 kepada RM6,867.00 satu tan berbanding RM5,930.50 satu tan pada Februari 2022.

Harga purata harian MSM telah menjangkau RM8,076.50 satu tan pada 2 Mac 2022 dan ia adalah harga purata harian tertinggi dalam sejarah industri sawit Malaysia.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata peningkatan ketara harga MSM telah menyebabkan harga buah tandan segar (BTS) dan produk berasaskan sawit turut meningkat dengan begitu ketara.

Beliau berkata, peningkatan harga ini telah membantu meningkatkan pendapatan dan keuntungan penggiat industri sawit termasuk pekebun kecil.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir. - NSTP/Aizuddin Saad
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir. - NSTP/Aizuddin Saad

"Harga BTS yang tinggi pada ketika ini adalah 'bonus' kepada pekebun kecil sawit bagi meningkatkan ekonomi isi rumah.

"Harga BTS yang dilaporkan oleh pengilang kepada MPOB telah melepasi paras RM1,000 satu tan bermula Oktober 2021 dan dijangka akan terus kekal tinggi pada April 2022," katanya kepada BH baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Parveez berkata, pekebun kecil dan peneroka FELDA juga bakal mendapat manfaat daripada langkah drastik yang diambil oleh Indonesia untuk menyekat pengeksportan minyak sawitnya.

Beliau berkata, bagi Malaysia selaku negara pengeluar dan pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia, langkah yang diambil oleh Indonesia ini dilihat bakal meningkatkan permintaan eksport ke atas minyak sawit Malaysia.

Tetapi katanya, berikutan masalah pengeluaran minyak sawit yang dihadapi Malaysia pada ketika ini susulan isu kekurangan tenaga buruh, Malaysia dilihat tidak mampu menampung sepenuhnya permintaan eksport yang tinggi yang ditinggalkan oleh Indonesia.

"Justeru itu, ketidakseimbangan permintaan dan penawaran ini dijangka akan menyebabkan harga minyak sawit dan minyak pesaing lain melonjak ke paras yang lebih tinggi.

"Peningkatan harga ini dilihat mampu memberi manfaat kepada sektor perladangan dan sektor pemprosesan sawit di Malaysia.

"Namun begitu, peningkatan permintaan eksport ini memberi cabaran kepada industri hiliran sawit tempatan di Malaysia memandangkan persaingan untuk mendapatkan bekalan bahan mentah minyak sawit kini menjadi semakin sengit.

"Walaubagaimanapun, dasar cukai eksport MSM, minyak isirung sawit mentah (CPKO) dan minyak isirung sawit proses (RBDPKO) yang sedia ada dilihat mampu berperanan dalam memastikan industri hiliran sawit tempatan mendapatkan bekalan bahan mentah minyak sawit yang secukupnya pada harga yang kompetitif," katanya.

Indonesia adalah pengeluar dan pengeksport utama minyak sawit di pasaran minyak dan lemak dunia.

Pada 2021, pengeluaran dan eksport minyak sawit Indonesia mewakili masing-masing 59 peratus dan 56 peratus daripada pengeluaran dan eksport minyak sawit dunia.

Secara keseluruhan, eksport minyak sawit Indonesia mewakili 30 peratus daripada eksport minyak dan lemak dunia.

Pengeluaran MSM negara bagi tempoh Januari hingga Mac 2022 meningkat sebanyak 0.14 juta tan atau 3.9 peratus kepada 3.80 juta tan berbanding dengan 3.66 juta tan untuk tempoh Januari hingga Mac 2021.

Ini adalah disebabkan peningkatan pengeluaran di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Pengeluaran MSM bagi Semenanjung Malaysia dan Sabah masing-masing meningkat sebanyak 0.06 juta tan atau 3.0 peratus kepada 2.09 juta tan dan 0.14 juta tan atau 17.5 peratus kepada 0.93 juta tan.

Peningkatan ini adalah disebabkan oleh kenaikan hasil BTS kepada 3.27 tan satu hektar bagi tempoh Januari hingga Mac 2022, lonjakan sebanyak 2.2 peratus berbanding 3.2 tan satu hektar untuk tempoh yang sama 2021.

Selain itu, peningkatan pengeluaran MSM turut disumbangkan oleh peningkatan pencapaian kadar perahan minyak bagi tempoh Januari hingga Mac 2022 iaitu sebanyak 0.5 peratus kepada 19.55 peratus berbanding dengan 19.46 peratus pada Januari hingga Mac 2021.

Daripada keseluruhan 4.25 juta tan bekalan minyak sawit bagi tempoh Jan hingga Mac ini, sebanyak 3.53 juta tan atau 83.1 peratus telah dieksport dalam bentuk minyak sawit sementara bakinya, 0.72 juta tan atau 16.9 peratus adalah untuk penggunaan tempatan dan industri hiliran.

Berita Harian X