Jumaat, 29 April 2022 | 12:15pm
Malaysia adalah pengeluar dan pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia - Foto hiasan
Malaysia adalah pengeluar dan pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia - Foto hiasan

Peserta industri sawit perlu patuh MSPO 2022

KUALA LUMPUR: Ladang sawit dan kemudahan pemprosesan minyak sawit perlu mematuhi piawaian Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) 2022 yang dilancarkan bulan lalu.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata mulai 1 Januari 2024, pemegang sijil MSPO akan diaudit semula berdasarkan piawaian MSPO 2022 yang dipertingkatkan.

Beliau berkata, sehingga 31 Mac 2022, 97.33 peratus, atau 453 daripada keseluruhan 464 kilang sawit berlesen di negara ini yang terdiri daripada ladang sawit dan pekebun kecil telah menerima pensijilan MSPO.

Katanya, MSPO 2022 menggabungkan keperluan kemampanan semasa bertujuan mendapatkan pengiktirafan daripada negara pengimport minyak sawit dengan menambahbaik amalan kemampanan, selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar dan pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia.

"Kami memperkukuh kriteria piawaian pensijilan. Piawaian yang dipertingkatkan memberi tumpuan kepada amalan mampan, dengan mengambil kira perubahan dalam keperluan kemampanan global.

"MSPO 2022 kini adalah skim pensijilan kebangsaan untuk ladang sawit, pekebun kecil dan kemudahan pemprosesan minyak sawit dan mereka perlu mematuhi piawaian baharu untuk mendapatkan pensijilan itu," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Parveez berkata, bagi memenuhi permintaan global untuk kemampanan, tiga elemen kitaran ekonomi, buruh paksa dan penempatan pekerja ladang ditambah dalam MSPO 2022, menggantikan MSPO yang dilancarkan pada 2013.

Katanya, MSPO 2022 juga menyaksikan industri minyak sawit mengamalkan konsep nilai pemuliharaan tinggi (HCV) dengan tafsiran nasional dalam garis panduan HCV MSPO.

"Keperluan kritikal lain melibatkan dasar yang komited kepada tiada penebangan hutan, tiada pembangunan di kawasan gambut dan tiada eksploitasi. MSPO 2022 termasuk protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), iaitu petunjuk bagi buruh.

"Gas rumah hijau (GHG) daripada perubahan guna tanah dan kaedah untuk mengukur GHG juga terkandung di dalam MSPO 2022. Keperluan kritikal lain yang ditambah dalam MSPO 2022 ialah kebolehkesanan dan kesahihan buah tandan segar (BTS) serta kelakuan beretika.

"MSPO 2022 turut mengandungi keperluan standard tambahan untuk menilai pematuhan bagi peniaga BTS dan peniaga minyak sawit terhadap MSPO.

"Piawaian ini bagi memastikan semua jenis pemegang lesen MPOB, termasuk pengeksport dan pengimport yang membeli dan menjual produk sawit tidak akan mengubah sifat kimia bahan berkenaan," katanya.

Beliau menambah, piawaian itu meliputi pengurusan mampan serta keperluan rantaian bekalan.

Jelasnya, rangka kerja baharu untuk piawaian MSPO 2022 hanya mempunyai lima prinsip berbanding tujuh prinsip versi sebelumnya agar lebih konsisten dengan aliran keseluruhan.

MSPO 2022 juga, katanya dapat menangani kempen anti-minyak sawit oleh pertubuhan bukan kerajaan di Barat mengenai kualiti produk dan pengurusan ladang sawit Malaysia serta persepsi negatif terhadap minyak sawit.

"MSPO 2022, dengan standard yang dipertingkatkan, dapat menangani cabaran yang kita hadapi, terutama berkaitan persepsi negatif di Barat.

"Ia juga akan memastikan kualiti unggul minyak sawit dan produk berkaitan minyak sawit negara dan seterusnya, mengembangkan pasaran eksport Malaysia.

"Pensijilan baharu ini akan memastikan produk minyak sawit Malaysia mampan dan boleh diterima dalam pasaran global," katanya.

Berita Harian X