Selasa, 26 April 2022 | 12:15pm
Larangan eksport Indonesia yang dikenakan terhadap olein sawit (RBD) bertapis, diluntur dan dinyahbau - Foto AFP
Larangan eksport Indonesia yang dikenakan terhadap olein sawit (RBD) bertapis, diluntur dan dinyahbau - Foto AFP

Larangan eksport sawit Indonesia manfaatkan syarikat Malaysia

KUALA LUMPUR: Syarikat perladangan sawit hiliran di Malaysia dijangka meraih manfaat daripada langkah larangan eksport Indonesia yang hanya dikenakan terhadap olein sawit (RBD) bertapis, diluntur dan dinyahbau.

Penganalisis RHB Research, Hoe Lee Leng, berkata larangan eksport yang tidak membabitkan minyak sawit mentah (MSM) itu berkemungkinan mendorong syarikat perladangan Indonesia yang mempunyai kapasiti hiliran di Malaysia membuat keputusan untuk mengeksport MSM ke negara ini bagi tujuan penapisan.

Beliau berkata, syarikat perladangan hiliran Malaysia juga bakal mendapat manfaat dengan kurangnya persaingan daripada produk bertapis yang diturunkan harganya sebelum ini di Indonesia.

"Seterusnya, potensi mendapat lebih banyak bekalan MSM dari Indonesia mungkin akan mengakibatkan kilang penapisan mereka mencatat kadar penggunaan yang lebih tinggi," katanya.

RHB Research juga membuat saranan 'beli' saham syarikat perladangan Indonesia pada harga rendah seperti Bumitama Agri (BAL) dan London Sumatra (LSIP).

Ia berpendapat, penjualan saham bagi beberapa syarikat perladangan huluan Indonesia dan syarikat perladangan Singapura yang tersenarai sebagai berlebihan memandangkan eksport MSM dibenarkan semula.

Lee Leng berkata, syarikat perladangan hiliran Indonesia mungkin mencari jalan untuk memintas larangan itu dengan mengeksport lebih banyak MSM dan RDB atau mengeksport ke Malaysia untuk ditapis semula dan dieksport semula.

"Kerajaan Indonesia memberi penjelasan bahawa eksport itu hanya terpakai untuk olein sawit RBD dan bukan untuk MSM mahupun derivatif lain. Pada 2021, jumlah eksport olein sawit RBD adalah sebanyak 12.7 juta tan dan 1.5 juta tan pada Januari-Mac 2022," katanya.

Beliau berkata, pengawasan ketat perlu dijalankan membabitkan bahan asas untuk olein sawit RBD, terutama minyak sawit bertapis dan MSM, yang tidak terkesan oleh sekatan eksport bagi memastikan bahan asas untuk olein sawit RBD masih dapat diperoleh.

Katanya, sekiranya berlaku kekurangan minyak sawit bertapis, sekatan eksport juga boleh dikenakan pada produk yang selebihnya.

"Berdasarkan perkembangan terkini, beberapa keputusan boleh berlaku seperti syarikat perladangan huluan akan dapat kembali menjual MSM dalam pasaran tempatan kepada syarikat penapisan mahupun mengeksportnya," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa syarikat perladangan hiliran di Indonesia boleh bertindak untuk tidak menapis produk mereka dan hanya mengeksport MSM ataupun hanya mengeluarkan minyak sawit RBD yang masih dibenarkan untuk pengeksportan.

"Syarikat perladangan hiliran yang tidak dapat mengubah pemilihan produk mereka mungkin berdepan situasi yang tidak menguntungkan kerana akan ada lebihan olein sawit RBD dalam pasaran tempatan.

"Jika menjual olein kepada pengeluar minyak masak pukal, mereka akan mendapat semula perbezaan harga daripada dana biodiesel.

"Namun, jika menjual olein kepada pasaran minyak masak berjenama, harga mungkin terjejas oleh lambakan bekalan dalam pasaran," katanya.

Berita Harian X