Isnin, 25 April 2022 | 5:51pm
Gambar fail. - EPA/FAZRY ISMAIL
Gambar fail. - EPA/FAZRY ISMAIL

Malaysia Airlines tawar diskaun tambang pelajar

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd menawarkan diskaun sehingga 35 peratus kepada pelajar yang layak untuk pulang ke kampung bersempena sambutan Hari Raya melalui program perjalanan MHexplorer.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata promosi tersebut sah bagi perjalanan sehingga 30 Jun, 2022.

"Untuk menikmati tawaran masa terhad ini, pelajar perlu mendaftar sebagai ahli MHexplorer dan menikmati tambahan diskaun lima peratus secara serta-merta daripada diskaun sedia ada (sehingga 30 peratus) bagi tambang penerbangan untuk perjalanan sehingga 30 Jun," katanya.

Menurut kenyataan itu, melalui MHexplorer, pelajar berusia antara 18 dan 26 tahun akan menikmati pelbagai manfaat perjalanan bagi tempoh sepanjang tahun.

Antara ganjaran yang ditawarkan termasuk diskaun sehingga 30 peratus untuk penerbangan Malaysia Airlines dan Firefly, elaun bagasi tambahan sebanyak 10 kilogram (kg), satu perubahan tarikh perjalanan secara percuma dan diskaun 20 peratus bagi kargo udara Firefly serta diskaun "keluarga dan rakan-rakan."

Sementara itu, cabang operasi pelancongan syarikat penerbangan itu, MHholidays turut menawarkan diskaun sehingga 20 peratus untuk penerbangan dan pakej hotel, bermula daripada RM359 bagi penginapan selama tiga hari dua malam untuk destinasi domestik yang boleh ditempah mulai esok.

Tawaran itu sah sehingga 10 Mei, 2022.

"Pelanggan MHholidays antaranya boleh menikmati nilai hebat seperti elaun bagasi sebanyak 35 kg, makanan percuma dalam pesawat dan pilihan tempat duduk percuma," menurut kenyataan itu.

- Bernama

Berita Harian X