Jumaat, 22 April 2022 | 2:14pm
Pembeli memilih barangan ketika tinjauan harga tepung dan barangan keperluan yang meningkat di Pasar Chow Kit, Jalan Raja Bot. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pembeli memilih barangan ketika tinjauan harga tepung dan barangan keperluan yang meningkat di Pasar Chow Kit, Jalan Raja Bot. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Kadar inflasi 2.2 peratus pada Mac

KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi di Malaysia meningkat 2.2 peratus kepada 125.6 pada Mac berbanding 122.9 pada bulan sama tahun sebelumnya, melebihi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga Mac 2022 iaitu 1.9 peratus, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kenaikan inflasi makanan, yang menjadi komponen terbesar kepada keseluruhan wajaran IHP, kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi.

"Peningkatan inflasi keseluruhan telah didorong terutamanya oleh kenaikan dalam kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (4.0 peratus) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya," katanya dalam Laporan IHP Mac 2022 yang diterbitkan hari ini.

Peningkatan IHP pada bulan dikaji turut disebabkan kenaikan kumpulan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (3.0 peratus); Restoran & Hotel (2.9 peratus) dan Pengangkutan (2.6 peratus).

Dalam masa yang sama, Pelbagai Barangan & Perkhidmatan meningkat sebanyak 1.9 peratus manakala Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan meningkat 1.1 peratus.

Kedua-kedua Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api lain dan Pendidikan masing-masing mencatatkan peningkatan 0.9 peratus, manakala Minuman Alkohol & Tembakau dan Kesihatan masing-masing mencatatkan peningkatan marginal 0.5 peratus dan 0.2 peratus. Komunikasi kekal tidak berubah, manakala Pakaian & Kasut menurun 0.3 peratus berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, peningkatan 4.0 peratus bagi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol sebahagian besarnya berpunca dari kenaikan ketara komponen Makanan di rumah yang meningkat 4.3 peratus berbanding 4.1 peratus yang dicatatkan pada Februari 2022.

"Subkumpulan Daging terus menjadi penyumbang utama dalam kenaikan kumpulan ini dengan peningkatan sebanyak 7.6 peratus. Ayam yang menjadi penyumbang utama kepada subkumpulan Daging meningkat kepada 10.5 peratus manakala Daging lembu meningkat 4.3 peratus pada Mac 2022," katanya.

Namun begitu, peningkatan bagi subkumpulan Daging itu adalah lebih perlahan berbanding Februari 2022 (9.0 peratus).

Subkumpulan Susu, keju & telur meningkat 7.0 peratus dan peningkatan terbesar dicatatkan oleh Telur (17.1 peratus) dan diikuti oleh Susu cair/pekat (9.0 peratus).

Sementara itu, subkumpulan Sayur-sayuran meningkat 5.1 peratus. Sayur-sayuran yang menunjukkan peningkatan adalah Bayam (24.1 peratus); Salad (22.2 peratus) dan Sawi (14.5 peratus).

Peningkatan harga sayur-sayuran itu adalah disebabkan oleh kenaikan harga global bagi racun dan baja.

Tambahan pula, menurut DOSM, konflik antara Russia dan Ukraine dijangka memburukkan keadaan dengan mengakibatkan peningkatan harga baja sekali gus kos pengeluaran. Sementara itu, Makanan di luar rumah meningkat 4.0 peratus pada Mac 2022 dan antara makanan yang menyumbang kepada peningkatan indeks komponen itu adalah Nasi berlauk (6.6 peratus), Sate (6.6 peratus) dan Murtabak (6.2 peratus).

Kesan asas penetapan harga siling Petrol Tanpa Plumbum RON95 (RM2.05 seliter) dan Diesel (RM2.15 seliter) yang bermula Mac 2021 berakhir pada Februari 2022 mendorong kepada peningkatan sederhana Pengangkutan (2.6 peratus).

Namun begitu, purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON97 mencatatkan kenaikan harga tertinggi RM3.73 seliter berbanding RM2.42 seliter pada bulan yang sama tahun lalu.

Sementara itu, IHP bagi suku pertama 2022 meningkat 2.2 peratus kepada 125.2 berbanding 122.5 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Bagi perbandingan suku tahunan pula, IHP meningkat dengan kadar perlahan 0.9 peratus berbanding suku keempat 2021 (1.2 peratus).

Mohd Uzir berkata, prestasi suku tahun pertama 2022 masih dipengaruhi oleh penetapan harga siling Petrol Tanpa Plumbum RON95 dan Diesel serta peningkatan harga ayam yang melebihi purata harga ayam 2021.

"Bagi perbandingan bulanan, IHP meningkat 0.3 peratus berbanding Februari 2022. Peningkatan ini disumbangkan oleh peningkatan Pengangkutan (1.1 peratus) dan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (0.6 peratus).

"Kedua-kedua Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah dan Restoran & Hotel masing-masing mencatatkan peningkatan 0.4 peratus, manakala Makanan & Minuman Bukan Alkohol dan Minuman Alkohol & Tembakau mencatatkan peningkatan marginal 0.3 peratus dan 0.2 peratus," katanya.

Beliau berkata, semua negeri menunjukkan peningkatan dalam inflasi di mana dua negeri menunjukkan peningkatan melepasi paras inflasi nasional 2.2 peratus.

"Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.9 peratus). Sementara itu, Sarawak (1.7 peratus), Negeri Sembilan (1.6 peratus) dan Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan (1.3 peratus) yang menjadi tiga negeri yang mempunyai peningkatan inflasi yang paling rendah," katanya.

Mengulas mengenai inflasi negara lain, Mohd Uzir menjelaskan, kadar inflasi zon euro meningkat lebih tinggi pada Mac 2022 iaitu 7.5 peratus berbanding Februari 2022 (5.9 peratus), melepasi jangkaan pasaran iaitu 6.6 peratus.

"Ini didorong oleh peningkatan 44.7 peratus dalam Tenaga, diikuti oleh Makanan, alkohol & tembakau (5.0 peratus), Barangan perindustrian bukan tenaga (3.4 peratus) dan Perkhidmatan (2.7 peratus).

"Kadar inflasi di Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada 8.5 peratus pada Mac 2022, tertinggi sejak Disember 1981 terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga tenaga (32.0 peratus).

"Perbandingan dengan negara-negara terpilih di rantau Asia Pasifik, kadar inflasi di Malaysia (2.2 peratus) adalah lebih rendah dari Indonesia (2.6 peratus), Filipina (4.0 peratus), Republik Korea (4.1 peratus) dan Thailand (5.7 peratus)," katanya.

Berita Harian X