Jumaat, 22 April 2022 | 1:58pm
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Datuk Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Datuk Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

Fasa 1 JENDELA hampir capai sasaran

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Fasa 1 inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) dijangka akan dapat mencapai sasarannya dalam memperluaskan liputan dan mengukuhkan kualiti pengalaman jalur lebar kepada pengguna di negara ini menjelang akhir tahun.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Datuk Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, berkata jangkaan itu adalah berdasarkan kepada prestasi semasa suku pertama 2022 yang hampir mencapai sasaran penuh Fasa 1 JENDELA.

Beliau berkata, liputan 4G ketika ini sudah mencapai 95.52 peratus, menghampiri sasaran SKMM bersama syarikat telekomunikasi sebanyak 96.9 peratus.

Katanya, sejumlah 7.027 juta premis telah menggunakan jalur lebar sehingga 31 Mac 2022, hanya sedikit lagi untuk mencapai sasaran sebanyak 7.5 juta premis manakala kelajuan internet pula berada pada 40.13 Mbps melepasi sasaran Fasa 1 JENDELA iaitu 35 Mbps.

"SKMM akan terus bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk mencapai sasaran mengikut pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), di samping berada di landasan dalam usaha memperluas liputan 4G.

"Kemajuan suku pertama ini menunjukkan pencapaian kerjasama yang kukuh antara pengendali, SKMM serta agensi berkaitan untuk memperluas liputan dan mengukuhkan kualiti pengalaman jalur lebar rakyat," katanya ketika taklimat media prestasi JENDELA Suku Pertama 2022.

Pelan JENDELA, yang tersedia di http://jendela.my, juga membolehkan pengguna mudah alih antaranya menghantar maklum balas, menyemak liputan mereka dan meneliti laporan rangkaian daripada rakan pengguna.

Dr Fadhlullah berkata, rangkaian 4G juga akan terus ditambah baik supaya dapat menawarkan liputan lebih mantap kepada pelanggan selepas perkhidmatan rangkaian 3G ditamatkan secara berperingkat sejak akhir tahun lalu.

Beliau berkata, walaupun perlu diakui bahawa wujudnya cabaran dalam tempoh peralihan itu, namun jumlah pelanggan yang berdepan masalah liputan lemah adalah kecil.

Katanya, sehingga 31 Mac lalu, sebanyak 1.815 juta pengguna telah beralih dari 3G kepada 4G, mewakili 86.6 peratus berbanding jumlah keseluruhan pelanggan 3G sebanyak 2.097 juta.

Dari segi peralihan rangkaian pula katanya, ia merekodkan 99.3 peratus, satu pencapaian yang sangat menggalakkan.

Sebelum ini, pengendali rangkaian telekomunikasi menjelaskan, gabungan kepakaran serta rantaian bekalan selama beberapa dekad, dan kerjasama antara pengendali rangkaian mudah alih berperanan penting dalam membolehkan pelaksanaan liputan mudah alih yang lancar, terutama bagi usaha menangani cabaran kolektif untuk penempatan infrastruktur mudah alih di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Perkongsian infrastruktur, menara dan lebar jalur antara pengendali rangkaian mudah alih adalah lazim dan diamalkan secara meluas di Malaysia sejak 2005, serta dalam perkongsian rangkaian radio sejak Perayauan Domestik 2G (suara) untuk kapasiti lebar jalur hingga perkongsian 3G (suara dan data) serta kini, 4G MOCN (Rangkaian Teras Operator Berbilang).

Kerjasama 2G/3G dilaksanakan khusus bagi kawasan terpencil dan kini perkongsian 4G MOCN dipercepatkan untuk meluaskan liputan di bawah program JENDELA.

Dr Fadhlullah berkata, SKMM juga akan meneruskan langkah menangani isu dan cabaran melalui penyelarasan dasar di peringkat negeri.

Beliau berkata, antara langkah yang diambil adalah pengiktirafan infrastruktur komunikasi sebagai utiliti awam ketiga serta penerimaan Garis Panduan Perancangan Infrastruktur (GPP-I) di peringkat negeri.

Selain itu, sistem Pengurusan Permit Infrastruktur Komunikasi (CIPM) dilaksanakan untuk memantau status permit struktur komunikasi.

"Majlis Digital Negeri atau Jawatankuasa Infrastruktur Negeri ditubuhkan bagi memudahkan isu pembangunan infrastruktur komunikasi.

"Memorandum Jemaah Menteri mengenai 'Pemudahcaraan Yuran Permit untuk Proses Kelulusan Pembangunan Infrastruktur Digitak' telah disediakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Ia dijangka akan diedarkan kepada kementerian berkaitan pada April ini.

"Malah, sehingga 31 Mac 2022, semua negeri masih mengkaji semula pindaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UBBL) dan belum mewartakan pindaan itu," katanya.

Berita Harian X