Khamis, 14 April 2022 | 11:45am
(Gambar fail) Pekerja warga asing di sebuah tapak pembinaan di Bangsar. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
(Gambar fail) Pekerja warga asing di sebuah tapak pembinaan di Bangsar. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Kontraktor terus berdepan kenaikan harga besi, kurang pekerja

KUALA LUMPUR: Sektor pembinaan terus bergelut dengan kemelut kenaikan tinggi harga bahan binaan khususnya besi selain kekurangan buruh asing meskipun Malaysia sudah dalam tempoh peralihan kepada fasa endemik.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Adam Mohamed Rahim, walaupun negara dalam tempoh peralihan kepada fasa endemik, trajektori perolehan sektor pembinaan dalam jangka pertengahan mungkin terhalang oleh tekanan margin.

"Kontraktor tempatan dijangka terus berdepan dengan kekurangan buruh walaupun selepas pelonggaran sekatan sempadan pada 1 April lalu.

"Ini kerana permohonan daripada majikan perlu ditapis oleh suruhanjaya penilaian Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menentukan bilangan pekerja asing yang layak untuk bekerja.

"Hal ini mungkin mendatangkan kekurangan tenaga kerja dan mengakibatkan kerja pembinaan tertangguh," katanya dalam nota penyelidikan.

Mengulas lanjut, Adam berkata, purata harga bulanan bahan mentah pula meningkat, dengan harga bar keluli melonjak ketara 21 peratus tahun ke tahun mencecah RM3,411.75 satu tan pada Mac, melepasi paras kemuncaknya RM3,255 satu tan yang dicatatkan pada Julai tahun lalu.

"Kontraktor mungkin terpaksa mengambil kira kos input yang bertambah dalam tender baharu dan menyebabkan keperluan modal kerja menjadi lebih tinggi," katanya.

Beliau menjelaskan, pendedahan butiran mengenai projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) oleh kerajaan dilihat membangkitkan sentimen positif dalam pasaran memandangkan projek berkenaan dapat memastikan kontraktor sibuk dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Namun, katanya, cabaran yang perlu dihadapi ialah cara projek terbabit akan dibiayai iaitu mungkin menerusi model pembiayaan hibrid, selain pengeluaran hutang oleh Kementerian Kewangan (MOF) yang memerlukan kontraktor membiayai kos pembinaan dahulu di tengah-tengah ruang fiskal negara yang terhad.

"Oleh itu, kami tidak dapat menolak kemungkinan bahawa projek mega pada masa hadapan akan dikurangkan nilainya atau dibiayai menerusi inisiatif pembiayaan swasta," katanya.

Adam berkata, RHB Investment Bank turut meramalkan ketidaktentuan yang tinggi berlaku apabila negara semakin menghampiri pilihan raya umum akan datang dengan cakap-cakap dalam pasaran percaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mungkin berlangsung pada separuh kedua tahun ini.

"Berdasarkan tiga pilihan raya umum lalu, Indeks KLCON didapati mencatat prestasi yang mengecewakan dalam enam bulan menuju ke hari pengundian," katanya.

Berita Harian X