Selasa, 12 April 2022 | 1:13pm
Jumlah dagangan Malaysia pada Februari 2022 bernilai RM184.4 bilion - Foto AFP
Jumlah dagangan Malaysia pada Februari 2022 bernilai RM184.4 bilion - Foto AFP

Eksport Malaysia melonjak kepada RM102.3 bilion

PUTRAJAYA: Nilai eksport Malaysia pada Februari 2022 meningkat 16.8 peratus kepada RM102.3 bilion, manakala import meningkat 18.4 peratus kepada RM82.5 bilion.

Ini menjadikan jumlah dagangan Malaysia pada bulan berkenaan bernilai RM184.4 bilion, meningkat 17.5 peratus berbanding bulan sama tahun lalu, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam Statistik Eksport Import Mengikut Negeri Februari 2022 yang diterbitkan hari ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (RM5.7 bilion), Sarawak (RM3 bilion), Kedah (RM2.2 bilion), Wilayah Persekutuan Labuan (RM1.6 bilion), Selangor (RM1.5 bilion),

Sabah (RM1.2 bilion), Johor (RM1.1 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM1 bilion), Pahang (RM103.8 juta) dan Perlis (RM23.9 juta).

"Bagaimanapun, eksport menyusut di Melaka (-RM1.2 bilion), Perak (-RM1.1 bilion), Terengganu (-RM320.2 juta), Kelantan (-RM199.5 juta) dan Negeri Sembilan (-RM31.7 juta)," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Uzir berkata, peningkatan import dicatatkan di Pulau Pinang (RM3.1 bilion), Selangor (RM2.7 bilion), Johor (RM1.7 bilion), Kedah (RM1.5 bilion), Sarawak (RM1.2 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM972.5 juta), Pahang (RM806.6 juta), Terengganu (RM578.3 juta), Negeri Sembilan (RM449.2 juta), Sabah (RM273.5 juta) dan Perlis (RM18.2 juta).

"Namun, import menurun di Melaka (-RM563.5 juta), Perak (-RM452.4 juta), Kelantan (-RM57.0 juta) dan Wilayah Persekutuan Labuan (-RM5.6 juta)," katanya.

Beliau menambah, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 29.6 peratus, diikuti oleh Selangor (19.3 peratus), Johor (18.7 peratus), Sarawak (8.2 peratus) dan Kedah (4.8 peratus).

Katanya, antara lima negeri pengimport utama pula, Selangor kekal sebagai penyumbang utama dengan 26.3 peratus, diikuti oleh

Pulau Pinang (23.1 peratus), Johor (20.2 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (7.1 peratus) dan Kedah (6.2 peratus).

"Sebagai persediaan kepada permintaan semasa bulan Ramadan, Malaysia telah mula mengimport kurma beberapa bulan sebelum Ramadan bagi memenuhi keperluan penduduk. Import kurma bernilai RM48.1 juta pada Februari 2022.

"Di peringkat negeri, Pulau Pinang mencatatkan import tertinggi bagi kurma bernilai RM20.3 juta (42.2 peratus), diikuti Selangor (RM15 juta, 31.1 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM6.9 juta, 14.4 peratus)," katanya.

Berita Harian X