Jumaat, 8 April 2022 | 10:26pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Pengendali rangkaian, MCMC masih bincang syarat kontrak 5G

KUALA LUMPU: Kalangan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) masih dalam peringkat perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai Tawaran Akses Rujukan (RAO) yang menentukan terma kontrak bagi teknologi 5G.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, MNO terbabit - Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd berkata mereka masih belum bersetuju dengan terma utama dalam RAO yang dikeluarkan oleh Digital Nasional Bhd (DNB), baru-baru ini.

MNO berkenaan juga menyifatkan sebarang persetujuan yang dicapai dengan DNB dan MCMC berkaitan perkara itu menjadi teras sebelum rundingan berkaitan persetujuan akses komersial dapat dimulakan.

"Sehubungan itu, MNO masih lagi dalam proses rundingan dengan MCMC untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai beberapa butiran dalam RAO itu.

"MNO berpendapat bahawa sebahagian besar kebimbangan serta isu-isu yang dibangkitkan serta dibincangkan dengan MCMC dan DNB, belum ditangani sewajarnya dalam dokumen itu. Ini termasuk prinsip-prinsip utama yang dicadangkan bagi RAO itu perlulah konsisten dengan amalan terbaik industri," kata kenyataan itu.

Ia juga menyifatkan RAO itu tidak membolehkan perniagaan serta pengguna di Malaysia mendapat akses dan perkhidmatan 5G yang berpatutan serta berkualiti selain mengekang kelancaran perkhidmatan dan penembusan 5G di negara ini.

"MNO kekal komited untuk meneruskan perbincangan dengan MCMC dan industri berhubung RAO berkenaan serta berharap dapat memainkan peranan aktif dalam pelaksanaan 5G sejajar dengan matlamat digital negara," katanya.

– Bernama

Berita Harian X