Khamis, 7 April 2022 | 2:37pm
Delegasi Malaysia ke Pakistan membincangkan kemungkinan mengambil pekerja ladang kelapa sawit dari negara itu - Foto hiasan
Delegasi Malaysia ke Pakistan membincangkan kemungkinan mengambil pekerja ladang kelapa sawit dari negara itu - Foto hiasan

Malaysia pertimbang ambil pekerja ladang Pakistan

PUTRAJAYA: Malaysia sedang membicangkan kemungkinan mengambil khidmat pekerja Pakistan bagi ladang kelapa sawit, demikian menurut Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).

Perkara itu adalah sebahagian yang dibicangkan semasa lawatan kerja selama tiga hari oleh Menteri, Datuk Zuraida Kamaruddin ke Pakistan pada 30 Mac hingga 1 April lalu.

Dalam kenyataannya, kementerian berkata, delegasi Malaysia turut mempromosi komoditi pertanian utama negara seperti minyak sawit, getah, kayu-kayan, lada, koko serta kenaf.

"Zuraida telah mengadakan pertemuan berasingan dengan Abdul Razak Dawood iaitu Penasihat Perdana Menteri bagi Perdagangan dan Pelaburan serta Ayub Afridi selaku Penasihat Perdana Menteri bagi hal ehwal Warga Pakistan di Luar Negara dan Pembangunan Modal Insan.

"Selain perbincangan mengenai usaha meningkatkan bahagian pasaran agrikomoditi Malaysia di Pakistan, perkara lain turut disentuh adalah kemungkinan kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan bagi sektor agrikomoditi," katanya.

Kenyataan itu menambah, Malaysia turut menzahirkan harapan untuk mengukuhkan lagi hubungan dagangan komoditi pertanian dengan Pakistan, selain berbincang mengenai cara bagi meningkatkan bahagian pasaran agrikomoditi di negara itu.

Menurut KPPK, Zuraida turut mengadakan sesi meja bulat khas dengan Dewan Perniagaan Islamabad dan Rawalpindi bagi berkongsi maklumat terkini mengenai komoditi Malaysia untuk makluman peserta industri.

Pada masa sama, ahli dewan perniagaan itu turut dipelawa untuk menjalin lebih banyak usaha niaga dan kerjasama dengan Malaysia, khususnya dalam pembangunan produk-produk hiliran seperti industri oleokimia, galas seismik getah asli, jalan raya campuran getah, pintu kayu dan coklat premium.

"Mereka juga dipelawa untuk menyertai acara Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) pada 26 hingga 28 Julai 2022 di Kuala Lumpur," katanya.

Pakistan adalah antara rakan dagang terbesar Malaysia dalam sektor agrikomoditi.

Kuala Lumpur juga mempunyai beberapa projek usaha sama, terutama dalam industri minyak sawit di Pelabuhan Qasim.

Islamabad turut berperanan sebagai rakan dagang dan strategik untuk produk agrikomoditi Malaysia dengan nilai eksport berjumlah RM3.31 bilion pada 2021.

Eksport agrikomoditi utama Malaysia ke Pakistan adalah minyak sawit (RM2.92 bilion), getah (RM253.90 juta) dan produk kayu-kayan (RM82.44 juta).

Berita Harian X