Rabu, 30 March 2022 | 4:26pm
Teknologi disruptif akan menjadi pemacu inovasi merentas semua sektor termasuk minyak sawit - Foto hiasan
Teknologi disruptif akan menjadi pemacu inovasi merentas semua sektor termasuk minyak sawit - Foto hiasan

Teknologi jadikan industri sawit kekal kompetitif

KUALA LUMPUR: Cara kreatif dan inovatif dalam menggunakan teknologi adalah penting untuk kekal kompetitif dalam industri minyak sawit, kata Pengarah Eksekutif Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), Tan Sri Dr Datuk Yusof Basiron.

Beliau berkata, wujud pelbagai jenis inovasi teknologi yang dibangunkan dan dikomersialkan, menyediakan penyelesaian kepada industri seperti kawalan penyakit dan kawalan serangga perosak serta mesin untuk menuai dan mengangkut buah tandan segar (FFB).

"Selaras dengan semangat dan aspirasi Transformasi Nasional Malaysia 2050 (TN50), teknologi disruptif akan menjadi pemacu inovasi merentas semua sektor termasuk sektor minyak sawit.

"Visi dan laluan transformatif TN50 adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan sasaran Perjanjian Paris," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian webinar bertajuk 'How Technology Is Elevating Sustainability in Palm Oil Industry', hari ini.

Sehubungan itu, Yusof berkata, peserta industri perlu belajar menyesuaikan diri dengan teknologi disruptif dalam industri minyak sawit dan pada masa yang sama memastikan faktor kemampanan dipenuhi.

Beliau berkata, kemajuan teknologi mampu mengoptimumkan penggunaan dan masa tenaga manusia, logistik dan bahan semasa peringkat huluan dan laluan kebolehkesanan dikenal pasti dengan mudah dalam sistem, ia akan meningkatkan kemampanan.

Kemajuan teknologi komersial dalam industri minyak sawit mampu menarik minat golongan muda, kata Yusof.

"Inovasi dan industri minyak sawit mampan menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada ramai orang untuk membantu mengembangkan industri di Malaysia," katanya.

Beliau menganggap golongan muda sedang menuju ke masa depan yang cerah dengan banyak peluang pembelajaran memandangkan teknologi semasa dalam sektor pertanian.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir yang juga ahli panel webinar itu berkata transformasi dalam industri kelapa sawit adalah penting untuk ia menjadi mampan.

Ini merangkumi tiga tonggak utama - 'People, Planet dan Profit' (Manusia, Planet dan Keuntungan) yang berjalin antara sektor industri huluan, pertengahan dan hiliran.

Mengenai sektor huluan, beliau berkata, ia menumpukan pada intensifikasi hasil yang akan memaksimumkan penggunaan tanah yang cekap dan pulangan pelaburan manakala sektor industri pertengahan memberi tumpuan kepada penjanaan biojisim kelapa sawit di mana secara purata, kira-kira 100 juta tan biojisim kelapa sawit dijana setiap tahun.

Bagi hiliran, Ahmad Parveez berkata, ia menekankan pendekatan mampan untuk proses oleokimia yang memberi tumpuan kepada teknologi pemprosesan hiliran, bahan kimia khusus dan produk pengguna.

"Transformasi positif dalam keseluruhan ekosistem industri minyak sawit akan meningkatkan kemampanan melalui kos pengurusan yang lebih rendah, hasil yang lebih tinggi serta pemuliharaan biodiversiti," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X